Perak | HOGA, Gaharu Tea Valley Gopeng



HOGA, Di Gaharu Tea Valley, Gopeng | Pada 25/10/2019 Sultan Perak Sultan Nazrin  Muizzuddin Shah telah memasyhurkan Lembah Kinta sebagai "geopark". Pemasyhuran ini menjadikan Lembah Kinta sebagai geopark kebangsaan kedua selepas Langkawi Unesco Global Geopark. Kinta Geopark meliputi kawasan seluas 1,952 kilometer persegi dengan 18 geosites yang meliputi daerah Kinta dan Kampar.

Gaharu Tea Valley di Gopeng ini berkeluasan 300 ekar dengan 200,000 batang pokok gaharu yang ditanam secara organik. Ladang di Gopeng inilah satu-satunya ladang organik dengan spesis gaharu teristimewa dan unggul 12 dalam 1 Aquilaria spp, yang hampir pupus di hutan banat sana. Berdasarkan keunikannya, gaharu dengan spesis ini telah dinamakan HOGA (Holistic Gaharu). Mengikut kajian, 400 pokok boleh ditanam di kawasan seluas 0.4 hektar dan boleh menghasilkan pendapatan sebanyak RM1.8 juta. Apabila mencapai 7-10 tahun, pokok gaharu mempunyai nilai antara RM5,000 hingga RM20,000 sepokok kerana semua bahagian pokok itu boleh diguna untuk pelbagai produk.

Pokok gaharu (agarwood) dikenali juga sebagai ous, aloeswood, jinko, chen xiang dan eagleswood, bergantung di negara mana ia hidup. Semua bahagian pokok gaharu, dari batang, kulit, daun, bunga, buah dan rantingnya digunakan untuk menghasilkan produk minyak wangi, ubat-ubatan, teh hijau dan kosmetik. Pokok gaharu yang ditanam di GTV adalah jenis hybrid unik yang dikenali sebagai "Gaharu Gopeng" (GI2013-00005) menjadikannya pokok gaharu signature.

Kayu gaharu dikatakan memiliki kelebihan dalam membantu untuk tidur nyenyak, meredakan tekanan dan mesra kulit. Orang yang selalu tidur tidur ayam bolehlah cuba pakai, yang jenis tengok movie pun boleh tertidur tak perlulah hahahahaha...


Pengeluaran Teh HOGA Sejak 1992
Teh HOGA dikatakan 100% asli, ditanam secara organik, 100% ekstrak kayu gaharu dan bebas kafein. Tahun 2011 lagi mereka dah dapat pengesahan halal. Mereka dah fikir jauh ke depan supaya berjaya menembusi pasaran yang lebih luas. Produksi teh HOGA juga telah diiktiraf ISO 22000 yang bermaksud mereka mengamalkan pengilangan yang baik untuk menghasilkan teh HOGA yang berkualiti.


Lawatan Ke Ladang Gaharu
Dengan pembelian tiket masuk kita akan diberikan seuncang teh Hoga dan lawatan dengan van di dalam ladang ini.

Tempat pertama yang kita akan dibawa ialah viewing stage, tempat paling tinggi di ladang ini. Dari atas ini nampak hijau aje pokok gaharu yang ditanam berteres-teres. Staf yang memberi penerangan pun berpengetahuan luas tentang gaharu (eh, entah entah anak tauke).

Kemudian kita dibawa turun ke Hugging Park. Sesuai namanya orang datang sini ambil gambar sambil peluk pokok. Ada juga pokok yang dilukis gambar beruang, burung hantu, kucing, zirafah dan lain-lain. Bebudak sukalah ni.

Lokasi terkhir sekali Lover's Park tetapi kami tak ke sini.

Ladang gaharu seluas mata memandang.

Sampai je sini dijamu makan- semua organik katanya. Seorang satu tray jenuh nak habiskan.


Cara penggredan gaharu HOGA:
Kayu gaharu matang yang telah dituai digredkan kepada enam peringkat iaitu Duga (pucat/pale), Rama (kekuningan/yellowish), Kosa (kuning tua ke perang/dark yellowish to brownish), Gusta (perang/brownish), Sena (perang ke coklat gelap/brownish to dark brown) dan Toha (coklat gelap ke hitam/dark brown to black).

Cara penggredan kayu gaharu HOGA. Agarwood grading.



Produk Hasilan Gaharu
Di bawah ini ialah sebahagian kecil produk akhir gaharu. Tak murah ya kayu gaharu ni, macam harga emas. Serbuk gaharu juga digunakan secara tradisional dalam menyembuhkan luka. 






Rantai tangan dengan 12 biji gaharu ni berharga RM8,888! 

Antara produk akhir ialah ais krim.


Tak lama lagi cuti sekolah seminggu, aku cadangkan bawalah keluarga jalan-jalan GTV dan sebahagian Perak. Banyak sangat tempat menarik di Perak.


HOGA, GAHARU TEA VALLEY GOPENG
(837448-W)

Gaharu Technologies Sdn. Bhd.
Lot 9840, Mukim Teja,
31600, Gopeng, Perak, Malaysia.

Buka setiap hari: 09:15 pagi – 06:00 petang.


Harga Tiket (dengan myKad):
Tiket masuk                    : RM10 dewasa
                                          RM5 kanak-kanak

***   ***   ***   ***   ***

Lepas baca ni harap rakan sebangsaku fahamlah ya bahawa nak kaya itu mengambil masa yang lama, prosesnya ada yang sehingga 25 tahun. Takdenya masuk duit hari ni bulan depan dapat untung 5% cukup setahun dapat 60%. Pembongak!

Belajarlah bahawa nak senang menuntut usaha berpanjangan dan kesabaran tetapi berbaloi jika kena caranyanya. Tiberrr....aku geram.



















Post a Comment

0 Comments