Mendaki Gunung Stong di Dabong | Assalamualaikum. Hari ni nak sambung cerita mendaki Gunung Stong. Aku sedang berusaha menghabiskan memana cerita yang belum ditulis secara panjang lebar untuk bersihkan galeri gambar.
Okaylah kita sambung cerita.
Aku tak pernah menjelajah Kelantan, setakat pergi Pasar Siti Khadijah tu pernahlah tapi itupun lama dulu. Selain daripada tu sekadar singgah di RnR masa road trip ke selatan Thailand dahulu. Sedih kan? Aku rasa sebab kurang promosi. Kelantan is underrated. Biasanya orang gi melancong ke Kelantan mesti akan ke Pasar Siti Khadijah, Rantau Panjang dan Wakaf Che Yeh. Ai tak minat. Aku percaya Kelantan ada sesuatu tapi tak banyak dikongsi. Jadi bila Kementerian Tenaga dan Sumber Asli ajak aku terus setuju selepas tengok itinerary.
Pemandangan dari atas bas.
GUNUNG SETONG GUNUNG MENCABAR
Gunung Stong terletak di Dabong, daerah Kuala Krai. Hutan Negeri Gunung Stong, atau lebih dikenali sebagai Gunung Stong State Forest Park (GSSFP), meliputi kawasan semula jadi seluas 21,950 hektar berdekatan dengan pekan kecil Dabong di Kelantan.
Dabong-Jeli ialah "aspiring geopark". Terdapat 26 tapak warisan geologi, enam tapak warisan biologi dan 14 tapak warisan budaya semulajadi. Gua-gua di sini telah wujud sejak 200-300 juta tahun dahulu.
Terdapat enam hutan simpan di negeri Kelantan. Taman Negeri Gunung Stong merupakan pintu masuk ke Gunung Stong dan Air Terjun Jelawang. Gunung Stong setinggi 1,422 meter (4,664 kaki) terletak di daerah Dabong, kira-kira 138 kilometer, 2 jam 34 minit dari Kota Bharu. Ia berada di dalam jajahan Kuala Krai tetapi hampir dengan bandar Gua Musang. Gunung Stong mempunyai beberapa air terjun yang menarik terutamanya Air Terjun Jelawang dan Air Terjun Kolam Puteri. Air Terjun Jelawang setinggi 360 meter dikatakan tertinggi di Asia Tenggara. Gunung ini menjadi lokasi popular kepada pendaki gunung kerana ia mencabar kekuatan fizikal dan mental.
Gunung Stong berada di jajaran Banjaran Titiwangsa. Ia mempunyai hutan dipterokap bukit, hutan dipterokarp atas dan hutan Montane. Terdapat banyak flora di gunung ini yang mempunyai nilai perubatan. Gunung Stong merupakan hasil aktiviti gunung berapi 60 juta tahun lampau.
Kajian yang dijalankan pada tahun 2003 dan 2005 mencatat kehadiran 130 spesies burung di sini, termasuk lima jenis burung enggang. Di antara spesies flora berstatus endemik ialah buluh kecil (Holttumochloa pubescens) dan palma kipas (Licuala stongensis) yang hanya dapat ditemui di kawasan ini dan tidak di tempat lain di dunia.
Di Malaysia terdapat 150 kawasan eko-pelancongan dan KeTSA serta Jabatan Perhutanan mensasarkan untuk menjadikan Hutan Simpan Gunung Stong sebagai geopark ke-7 di Malaysia. Sejak 2007 lagi taman negeri ini telah mula dipromosi selepas dianugerahkan status taman negeri dan destinasi ekopelancongan pada tahun 2007. Kawasan ini dikendalikan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.
#AspiringStoneGeopark
PERSEDIAAN SEBELUM MENDAKI
Oh ya, untuk mendaki Gunung Stong kita perlu memohon permit daripada Jabatan Perhutanan Kelantan selewat-lewatnya tiga hari sebelum memulakan aktiviti dan kita mesti mendapatkan khidmat malim gunung. Seorang malim gunung untuk tujuh pendaki dengan yuran RM250 sehari.
Untuk yang lebih kental cuba Trans Jelawang mendaki sembilan puncak gunung dalam masa enam hari lima malam. Gunung-gunung yang dimaksudkan ialah Gunung Baha, Ayam, Stong, Nyelit, Beirut, Che Tahir, Saji, Tera dan Kob. Paling tinggi iaah puncak Gunung Ayam, 1500 meter 😓😵
Sebenarnya laluan masuk ada dua. Yang biasa, melalui Stong Hill Resort dan satu Sungai Kenerung. Laluan kedua tu agak ekslusif kerana terdapat banyak air terjun, lebih banyak spesis ikan dan ada bunga rafflesia. Tak ramai malim boleh bawa melalui laluan ini.
HARI YANG DINANTIKAN
Sarapan kami seawal enam pagi tapi aku dan rakan 'serumah' turun jam 6.30 pagi. Kami dijamu dengan nasi dan kuih-muih. Kena makan karbohidrat sebab akan guna banyak tenaga. Aku makanlah nasi sikit dan dua jenis kuih. Makan nasi pepagi bukan kebiasaan dan aku risau benar sakit perut, risau oii membuang dalam hutan hahahahh...
Selepas tu kami berkumpul di dataran mendengar taklimat daripada pasukan Bomba & Penyelamat dan ketua malim gunung. Streching dan mula!
Maka beraraklah kami....dari tempat berkumpul dah mula mendaki...fuhhh..!! Berjalan-ambil gambar- jalan- ambil gambar, gitu le. Semasa berjalan naik tu aku dah mula rasa lutut kanan sakit. Aku yakin sebab tak cukup latihan dan tak memanaskan badan dengan secukupnya sebelum memulakan dakian. Yelah kan, tetiba terus pressure kaki mana tak sakit. Seorang staf KeTSA kata dia naik tangga ke tingkat 18 selama dua minggu sebelum aktiviti mendaki pagi tu. Dia kata takde masa lain sebab sibuk jadi bos dia suruh berlatih macam tu je lah. Gigih oii...tingkat 18!
Berjalanlah kami perlahan-lahan...
Seorang staf Bernama ni sakit lutut, dia kata baru dua hari turun dari gunung ni jadi dia tak naiklah sampai puncak, sampai stesen satu je. Aku yang baru terasa sakit ni tetiba tinggg..!! terfikir tak payah naiklah, karang lagi sakit hahaahha... Dboy pun tak naik juga. Tak tahulah sebab dia baru naik ke atau nak temankan aku. Eh sweet nyer kalau nak temankan aku 😊. Lepas tu dia cakap, akak ni sebenarnya bukan tak boleh naik tapi disebabkan si polan tu tak naik, ada orang tinggal kat bawah ni, akak pun tak naik. Eh tau tau je...kalau takde sesiapa yang tinggal terpaksalah mendaki juga. Kita ni jiwa tak kental wak.
Lutut aku memang sakit masa tu. Berdasarkan pengalaman lalu aku akan susah melompat dan bermasalah untuk menuruni bukit atau tangga (berbulan ya sakitnya). Jadi kami berempat tinggal ditemani seorang malim gunung.Peserta lain meneruskan usaha ke puncak. Perasaan aku masa tu bercampur baur lega dan terasa rugi. Hanya mampu berbangga mendaki Gunung Papandayan dan Gunung Angsi je lah. Eh, ada hiking kat Chiang Mai juga.
Dari stesen satu, kita kena melintas kawasan berair hasil air terjun. Di sini perlu berhati-hati sebab licin dan air agak deras. Mesti sama sama mengawasi. Lepas tu kita berjalan naik je, boleh berpaut pada tali yang disediakan. Sekejap je mereka dah sampai ke punca air terjun dalam 20 minit. Menyesal pula tak naik.
Selepas mandi manda kita akan berjalan ke Kem Baha (Baha Camp) dalam sejam 30 minit. Owh di sana ada garis kuning/merah, kita jangan berjalan melepasi garis ini. Amboi...kemain sedap diorang makan siap pulut mangga atas gunung nun. Kami berempat minum kopi cicah biskut jer hahahha...
Kem Baha, terletak pada ketinggian 460 meter di atas paras laut, diberi nama sempena bekas pemandu tempatan yang meninggal dunia pada tahun 2002 dan menyumbang kepada pembinaan kebanyakan laluan. Perjalanan dari pintu masuk ke Baha Camp mengambil masa kira-kira 1-2 jam. Kebanyakan pengunjung akan bermalam di Kem tersebut. Pondok boleh disewa dengan harga RM 10 seorang setiap malam, manakala tapak perkhemahan berharga RM 3 seorang setiap malam. Tapak perkhemahan cukup luas untuk ramai orang.
Beberapa tempat menarik boleh dilawati di sekitar Kem Baha seperti Gua Rantai, Air Terjun Kolam Puteri, Telaga Tujuh dan Air Terjun Dua Gunung.
Air Terjun Kolam Puteri agak tinggi dan mempunyai kolam yang besar, dalam dan tenang. Air Terjun Telaga Tujuh ialah telaga semulajadi ini berada di tengah-tengah sungai di atas air terjun Kolam Puteri. Air Terjun Dua Gunung dari dua buah gunung iaitu Gunung Stong dan Gunung Ayam yang bercantum menjadi satu sungai.
Peserta meneruskan perjalanan ke air terjun terakhir 30 minit, sambung ke Air Terjun Telaga Tujuh 15 minit dan terakhir Air Terjun Kolam Puteri 30 minit. Laluan balik melalui jambatan gantung sebelah resort.
Semangat!
Akak yang kanan tu power seh, turun naik gunung je kerjanya. Tak sekufu dengan aku yang tak kuat semangat ni.
Ambil gambar lu..
Nampak air tu biasa je kan tapi kalau tergelincir ke bawah nun perginya.
Lepak dengan diorang je. Seronok dengar cerita wartawan.
Dboy gak sempoi. Dia dah lima kali naik Gunung Kinabalu. Another level betul.
Nak berkelah di bawah ni pun boleh.
Pendaki-pendaki tu semua akan melalui jambatan gantung ini sewaktu turun dari Gunung Stong.
Hubungi nombor ini jika berhajat untuk mendaki Gunung Stong.
Seronok dengar mereka bercerita pengalaman memasing. Ada yang terketar-ketar melompat longkang, ada yang takut turun tangga 90 darjah. For first timer mesti pengalaman ini sangat menyeronokkan.
Selepas makan tengahari dan solat kami masuk gua. Petang tu hujan lebat dan berlaku kepala air dari Gunung Stong tapi tak kena resort. Takut nengoknya.
Cara Untuk Ke Gunung Stong
Dari pekan Dabong, anda boleh meneruskan perjalanan ke Gunung Stong menggunakan teksi, bas, atau kenderaan peribadi. Tarif teksi dari Dabong ke Kampung Jelawang, pintu masuk Gunung Stong, adalah kira-kira RM 30 – 50.
Terdapat beberapa bas yang melayani laluan Dabong – Kampung Jelawang. Perjalanan mengambil masa kira-kira 30 minit.
Jika anda membawa kenderaan persendirian, anda boleh memandu ke Kampung Jelawang melalui Jalan Jelawang – Dabong. Jarak perjalanan adalah kira-kira 10 kilometer dan mengambil masa kira-kira 20 minit.
0 Comments
Feel free to leave your comment below. Thank you.