Jerai Geopark, Kedah | Apa Yang Menarik Di Padang Tok Sheikh & Estuari Sungai Merbok?|Dari Pulau Pinang kami terus naik ke Jerai Hill Resort di Gunung Jerai. Sejuk oih...nyaman. Aku suka suasana di sini dengan pokok bunga berwarna-warni. Waktu tu pelantar kaca masih dalam pembinaan.
Jerai Geoprak seluas 501 kilometer persegi telah diwartakan sebagai National Geopark sejak 18 Julai 2017. Geopark ini termasuk Kuala Muda dan Yan, bersempadan dengan Sungai Limau di utara manakala di selatan Kedah dan Pulau Pinang pula bersempadan dengan Sungai Muda. Gunung Jerai bukanlah gunung yang tertinggi di Kedah tapi kedudukannya di pesisir pantai dengan persekitaran yang lebih rendah daripadanya menyebabkannya menyerlah. Gunung Jerai dahulunya ialah Pulau Serai kerana paras air dikatakan jauh lebih tinggi berbeza dengan keadaannya sekarang.
Jerai Geopark yang mempunyai 25 geosites penting adalah unik kerana secara saintifiknya terletak di kawasan geodiversiti batuan tinggi Formasi Jerai, Formasi Mahang dan Granit Jerai. Kawasan Jerai juga merupakan lokasi wujudnya Tamadun Kedah Tua dan terkenal dari aspek arkeologi menerusi penemuan Tamadun Sungai Batu iaitu tapak pelabuhan dan peleburan besi kuno, Tamadun Lembah Bujang dan puluhan candi dan binaan kuno di sepanjang Sungai Merbok. Tarikan lain yang terdapat dalam Geopark Jerai ialah Hutan Paya Bakau Sungai Merbok yang bernilai tinggi.
Di mana Padang Tok Sheikh?
Jika anda dah sampai ke Jerai Hill Resort, PTS kat atas lagi. Ia adalah kawasan batuan yang tidak berapa besar (yang boleh dilawati) yang menjadi sebahagian Jerai Geopark. Dari laporan berita dan tinggalan sampah, ada yang datang ke sini untuk 'beribadah'. Entahlah nak... tapi perangai buang sampai merata tu memang perangai sampah masyarakat! Di puncak yang satu lagi ada tentera berkawal. Biasanya yang naik ke sini hanyalah tentera dan juruteknik Telekom sahaja.
Apa Yang Ada Di Padang Tok Syeikh?
Kami naik ke tapak geologi Padang Tok Syeikh di Gunung Jerai. Masa ni masih hangat isu "Nabi Adam turun di Gunung Jerai", tak sangka aku sampai ke archaeological site ini. Memang teruja dengan lawatan begini kerana susah nak buat dengan keluarga. Seandainya pergi sekalipun suasananya tak sama. Lawatan ini bersama dengan pakar arkeologi tersohor iaitu bekas Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin.
Padang Tok Sheikh ni dinamakan bersempena dengan gelaran seorang pendakwah Arab, Sheikh Abdullah Yamani yang mengislamkan Raja Durbar pada tahun 1136 yang kemudiannya dikenali sebagai Sultan Muzaffar Shah. Dengan pengislaman inilah bermulanya penggunaan gelaran "Sultan" kepada raja pemerintah dan menggunakan nama Kedah menggantikan Kataha atau Khalaha.
Gunung Jerai yang berketinggian 1,170 meter dari aras laut dipenuhi dengan metakuarzit yang terbina sejak 500 hingga 550 tahun lalu. Dipercayai dahulu kala paras air laut lebih tinggi dan Gunung Jerai ini dikenali sebagai Pulau Serai. Kemudian air menyusut dan menyerlahkan gunung yang disamping kawasan rendah di sekelilingnya. Macam tak logik tapi buktinya ada, fosil purba pun boleh dilihat menunjukkan lama dahulu ia kawasan berair.
Dato' Dr Mokhtar Sidin yang pakar dalam bidang ni menerangkan dengan lancar dan menjawab soalan-soalan kami dengan bahasa mudah. Mungkin soalan kami ada yang naif tapi beliau tetap menjawab dengan baik. Untung kami dapat belajar daripada pengkaji yang mengkaji dengan disiplin ilmu dan bukan sembang semberono.
Apa Yang Boleh Dilihat Di Geopark?
1. Formasi batuan. Geopark selalunya akan menunjukkan formasi batuan yang terbentuk akibat hakisan, masa dan angin.
2. Sesetengah geopark ada fosil yang tertanam di formasi batu yang boleh menerangkan serba sedikit tentang zaman prasejarah.
3. Sesetengah geopark ada air terjun, gua dan pantai dilitupi batu seperti di Langkawi.
4. Sesetengah geopark ada laluan mendaki. Di Padang Tok Sheikh ni pun ada kot.
5.Sesetengahnya ada burung eksotik dan haiwan liar.
Datuk Dr Mokhtar Saidin sedang memberi penerangan sebelum masuk ke Geotapak Padang Tok Sheikh.
Ahli arkeologi ni dia kena belajar dan tahu banyak perkara; mengenai cuaca, perubatan, jenis pokok dan batuan dan berbagai lagi. Kita boleh juga kesan pokok apa di zaman itu berdasarkan polen. Contohnya di Lenggong, jutaan tahun dahulu ia savanah sebelum bertukar kepada hutan hujan tropika.
Padang Tok Sheikh ni, batuan granit di sini adalah batuan paling tua di Malaysia. Setiap garis, lapisan, bentuk memberi tahu kita tempoh pembentukan, jenis hentaman, pernah tenggelam dalam air ke tidak dan lain-lain lagi.
Tengah teropong askar yang berkawal tapi tak nampak apa terlindung dek kabus.
Kulihat hijau...
Sebelum menamatkan lawatan kami singgah ke Telaga Tok Sheikh. Telaga ini tempat orang dulu dulu dapatkan air. Dari segi sains dan logik, telaga ini paling dekat dengan tapak dan bersebelahan sungai. Tiada yang aneh kerana agama Islam tidak terpisah dengan sains tetapi ada yang datang bertapa di sini dan melakukan ritual yang memesongkan akidah. Ada juga yang mengambil air telaga kerana menganggapnya suci dan mampu menjadi penawar kepada pelbagai penyakit. Ya, air telaga ini air mutlak yang suci lagi boleh menyucikan. Itu sahajalah. Janganlah berlebihan dengan melakukan upacara khurafat.
Telaga Tok Sheikh.
Menyelusuri Sungai di Muara Sungai Merbok
Aktiviti terakhir pada hari tersebut ialah menyelusuri Sungai Merbok selama sejam setengah bermula dari Jeti Semeling. Sungai Merbok ini penting dalam tamadun Kedah Tua kerana memainkan peranan dalam perniagaan dan perdagangan.
Sekarang kedalaman sungai ini dari tiga hingga 15 meter. Bayangkan dahulu betapa sibuknya dengan kapal dagang besar yang keluar masuk di sini. Pedagang dari tumur dan barat akan berhenti berbulan di sini beriaga sementara menunggu pertukaran angin monsun.
Di sepanjang pelayaran, pemandu pelancong bercerita mengenai sejarah- rumah/bangunan apa yang ada di situ masa dulu, kapal yang dikatakan tenggelam... Selain itu beliau juga menyebut beberapa jenis pokok bakau yang terdapat di muara sungai. Pokok bakau sangat penting dalam menghindar hakisan tanah dan penampan ombak. Ia juga menjadi tempat beberapa hidupan air membiak. Dapatlah juga melihat beberapa spesis burung petang tu berkicau nak balik ke sarang.
Sejenis pokok yang yang jarang dijumpai, kurma laut (Phoenix Paludosa), pun ada di sini. Di Bengal Barat, India, rimbunan pokok kurma laut ini menjadi tempat harimau Sundarban menyorok.
Kepada yang berminat untuk mengambil pakej menyelusuri Sungai Merbok boleh menghubungi Encik Mazlan 016-5053531 atau Encik Zai 019-423 6521.
0 Comments
Feel free to leave your comment below. Thank you.