Tips Hartanah | Pocket Calculator - Cara mengumpul deposit untuk beli rumah (atau melancong)
Dah lama benar tak menulis tips hartanah. Aku masih ada minat yang tinggi dengan hartanah tapi bank cuma bagi 70% pembiayaan jadi mampu pandang je lah rumah-rumah yang diiklankan. Sedih mat. Puaslah aku pasak telinga anak-anak yang berdua tu suruh beli tapi belum nampak kesungguhan mereka lagi. Kalau dah ada komitmen bayar ansuran rumah setiap bulan aku agak bertambah pandailah si kakak urus duit, takdelah makan makanan viral harga tak masuk akal dan order air manis potong kaki lagi.
Blogpost kali ini hanyalah nak membuka minda dan memberi idea. Jika ada idea yang lebih baik sila teruskan. Nak kata ini nasihat kewangan rasanya belum layak lagi nak bagi financial advises, hanya berkongsi cerita dan pengalaman.
Selain apa yang tersedia di applikasi kewangan yang boleh dimuat turun, cara old peoples adalah menggunakan jadual yang disediakan di pocket calculator ini. Senang je buat anggaran untuk bina simpanan atau deposit beli rumah/kereta. Baru kerja 5-10 tahun adalah masa untuk struggle, jarang dapat work-life balance waktu memula nak hidup. Toksah terikut-ikut sangat cara orang senang. Kita yang bukan anak menteri ni bersusah-susah je dulu. Kalau gaji hakiki tak cukup buat kerja part time. Percayalah, bila kita dapat capai target rasa puas hati sangat 👏🎉.
Ramai juga yang mendoktrinkan, "ala..sewa je dulu tak payah ikut orang lain beli rumah. Ikut kemampuan nko..nanti ada lah rezeki tu". Well, Allah suruh berusaha-berdoa-bertawakal, bukan main berserah kepada takdir semata. Pendapat/persoalan aku:
1) Adakah engkau ada rancangan untuk menambah pendapatan dengan membuat kerja sampingan atau berniaga online/offline dalam masa terdekat? Paling tidak setahun lagi?
Biasanya orang yang nampak jalan bisnes dia tak tunggu lama. Jika ada rancangan begini tak mengapa sebab dah ada matlamat yang jelas nak pusing duit dulu.
2) Tidakkah kau perasan bayaran bulanan rumah sewa hampir sama dengan bayaran ansuran pinjaman perumahan?
3) Sewa je dulu tu nak sewa sampai umur berapa? Adakah harga rumah akan kekal? Sekarang pun apartment baru dah 200 ribu ringgit. Harga rumah di bawah rm300k takkan turun. Percayalah.
4) Adakah tuan rumah takkan naikkan sewa?
Pernah terbaca mamat tu cakap kalau sewa rumah naik dia akan pindah. Ekau nak pindah ke mano jang? Tempat baru pun tak murah melainkan jauh.
5) Dengan banyaknya peluang menyambung pelajaran sekarang, katakanlah kebanyakan daripada anak-anak muda akan bekerja pada umur 22 tahun dan tamat pada usia 60 tahun err... ko nak kerja sampai umur 60 ke? hahahha mampoih! Bila masa nak berjalan tengok dunia weh?. Kita cuma ada 38 tahun masa untuk bekerja dan membuat hutang.
Katakanlah kita beli rumah pada usia 27 tahun, bila umur 60 insyaallah pinjaman perumahan tamat dan kita tak perlu runsing lagi sebab dah ada bumbung di atas kepala kita. Bersaralah dengan tenang. Ada juga yang berjaya menyelesaikan hutang rumah lebih awal.
Lagi lambat kita mula lagi tinggi bayaran MRTT. Saya dah kena hukhuk...beli rumah buat pembiayaan perumahan guna nama suami sebab masa tu tak kerja jadi takde slip gaji, umur dia pula dah dekat setengah abad jadi tinggilah MRTT. Harga rumah tak sampai seratus ribu pun.
6) Tidakkah anda terfikir bahawa tuan rumah juga ada matlamat hidup?
i- Dia beli rumah itu mungkin untuk anak dia. Maksudnya, bila anak dia masuk universiti dan memerlukan perbelanjaan yang banyak dia akan naikkan sewa atau jual rumah sewa tu.
ii- Dia beli rumah itu mungkin untuk anak dia. Maksudnya, bila sampai masanya dia akan serahkan rumah itu kepada anaknya.
iii- Dia beli rumah itu mungkin sebagai pendapatan setelah tidak lagi aktif bekerja. Rumah sewa tu income dia, dia akan naikkan sewa supaya dia tak perlu downgrade hidup setelah bersara.
iv- Dia beli rumah itu mungkin untuk dia dan pasangan menikmati hidup di hari tua. Dah penat bekerja, dia nak jual rumah tu dan enjoy travel the world. Hang kena pindah.
v- Ada orang kata bila tak boleh bayar ansuran pinjaman perumahan (housing loan) rumah akan dilelong. Habis tu, kalau kau tak boleh bayar sewa rumah tuan rumah tak suruh pindah? Kite tak buat charity dik. Tuan rumah kena service loan tu.
Bagaimana Untuk Mengumpul Wang Deposit Rumah?
1. Beruntungnya zaman sekarang ini semua orang ada telefon pintar dan media sosial. Gunakan ia untuk menjual secara online. Boleh jadi affiliate Shopee/Lazada dan sebagainya.
2. Buat produk sendiri dan jual. Jika berhasrat menjual makanan, rajinkan diri buat latihan dan minta kawan-kawan dan jiran cuba masakan kita. Kena terima komen positif dan negatif untuk perbaiki diri.
3. Jadi ejen menjual emas/unit amanah/takaful/penapis air dan lain-lain. Simpan duit komisyen tu.
4. Buat tuisyen online dalam bidang yang kita mahir, tak semestinya akademik. Ada orang ajar guna Canva, yang lain ajar menggunakan Excel.
5. Selesaikan masalah manusia. Jual servis seperti buat poster, kad ucapan, hamper dan sebagainya. Ramai orang berduit tapi tiada masa untuk buat semua tu. Contohnya macam doktor, duit berkepuk tapi bila masa dia nak buat crochet atau kek dengan toppings gempak semua tu? Selesaikan masalah dia.
Teringat seorang budak perempuan yang bagi servis meneman ke tandas waktu malam dengan caj RM1. Bijak betul!
6. Jika minat kereta, tawarkan servis detailing.
7. Nampak takde kelas tapi servis lipat kain amat diperlukan. Ada seorang kawan facebook pernah ambil upah lipat kain walaupun beliau bertaraf pegawai. Jangan pedulikan cakap orang.
8. Bersihkan rumah orang takde kelas? Sejam boleh dapat RM20-25.
9. Cuba iklankan jadi peneman emak berjalan-jalan hujung minggu. Anak dia mungkin duduk jauh.
10. Tengah heboh fasal jurugambar ambil upah ambil gambar pelancong di lokasi strategik di Kuala Lumpur. Itu salah satu cara cari duit tepi tapi jangan sampai mengganggu dan memaksa.
11. Jual barangan terpakai.
12. Ambil upah repair motor/kereta tetapi walaupun hanya kerja sambilan lakukannya sepenuh jiwa. Tetapkan masa untuk disiapkan. Time is money.
13. Buat pinjaman peribadi (personal loan) di bank. Cadangan ini bukan untuk semua orang dan lebih sesuai untuk pembelian rumah dah siap (subsales). Pinjaman peribadi termasuk dalam hutang jahat.
Aku masih berfikir cara old money peoples. Atuk nenek onyang kita dulu pun banyak tanah dan ladang walau tak sekolah tinggi dan kerja kampung, takkan kita yang berpendidikan lebih baik dan dapat banyak peluang untuk memperbaiki hidup lebih teruk daripada mereka? Kenalah ada rumah sendiri walau kecil.
Duduk dendiam bertenang dan fikirkan. Buat timbang tara baik buruk untuk jangka masa panjang kerana kita bertanggungjawab atas diri kita sendiri. Jangan nanti kita salahkan semua orang sedangkan kita sendiri yang tidak bertindak. Tanamkan dalam fikiran biarlah susah sikit sekarang daripada susah di masa dah takde tenaga. Pernah tengok gelandangan? Jadikan pengajaran untuk diri sendiri.
Kena ingat, bukan senang nak senang bagi kebanyakan orang, ada perkara yang perlu dikorbankan untuk mencapai matlamat. Dalam hidup ini kita tak boleh buat dua perkara ini serentak, kena pilih nak berusaha atau beralasan. Cubalah!
Selamat beramal.
**Pocket calculator ni aku dapat masa aku buat kerja-kerja berfaedah dengan Public Mutual dulu😄. Klik di gambar untuk besarkan.
Kalkulator poket yang boleh dilipat.
0 Comments
Feel free to leave your comment below. Thank you.