Singapore Revisit | A One Day Trip Around Singapore - Jalan Jalan Sampai Lebam | Bulan September, 4 hari sebelum ke India, kami sekeluarga pergi melancong ke Singapura. Alang alang memasing dah ada passport lebih baik maksimakan penggunaannya.
Seperti biasa aku dah list down mana tempat nak pergi dan minta driver susun ikut kesesuaian supaya tak pulang balik membuang masa dan petrol tapi aku ada tambah dua tempat lagi. Sebenarnya nak juga rasa tidur di Singapura tapi hostel pun rm800 untuk enam orang 😓, belum termasuk tambang MRT dan makan lagi. Walaupun masa tu nilai ringgit menguat tapi tetaplah duit kita kurang nilai berbanding dollar Singapura. Keputusan akhir, kami sewa Velfire 9 pagi hingga 9 malam dari Johor Bahru. Nak pandu kereta sendiri kena daftar online dua minggu sebelum masuk ke Temasek. Tak sempat.
Tiga orang anak aku tak ikut. Yang sorang disebabkan komitmen kerja, yang lagi dua orang bagi alasan takde duit, eh macamlah dia yang kena keluar duit. Tak nak ikut sebab tak boleh bawa masuk vape kot. Aku suspect je lah. Aku warned semua yang berkenaan, smoking is only allowed in designated areas, and e-cigarettes are prohibited. Macam-macamlah aku pesan tentang "don't" di Singapura. CCTV merata oih. Karang tak bayar saman tak lepas keluar pula.
Seharian Di Kota Singa
Kami bertolak hari Jumaat malam. Mak aku suruh check-in hotel sebab risau adik aku letih tapi aku tak setuju. Takkan nak check-in pukul dua pagi lepas tu pukul lapan check-out? Tak berbaloi. Lagipun bila dapat tilam empuk soheh terlajak sebab letih. Kami rehat dalam kereta di RnR Kulai je. Pergh...penuh parkir sebab baru mula school semester break.
Pemandu jemput kami di kondo Kota Iskandar pada waktu yang dijanjikan. Lengang je sekitar kondo tu sebab cuti hujung minggu negeri Johor (keesokannya pun tetap sendu je tempat tu). Mungkin juga disebabkan lokasi tu masih agak baru, macam Putrajaya masa memula dihuni dulu tapi best jugalah. Jangan tak tahu, banyak unsold properties di Johor - oversupply. Berdasarkan pemerhatian, begitulah.
Tempat tujuan pertama sudah pastilah Resort World Sentosa. Masa ikut pakej sehari ke Singapura dahulu, kami diturunkan Singapore Cruise Centre, kena berjalan 1.1 km. Ai okay je masa tu...kita nak tengok tempat baru kan? Small matter lah.
Ukur tinggi dulu.
Ada restoran halal di sini.
Anak bongsu pun dah sama tinggi dengan mak. Belum sekolah menengah lagi.
Datang sini sekadar bergambar je... lain kalilah masuk Universal Studio Singapore. Harga tiket dewasa bermula SGD83, jadi kalau nak masuk pastikan seharian kat dalam tu. Singapore trip ni kira trip pengenalan kepada anak-anak alang alang dah ada passoprt lagipun nak ziarah keluarga baru di Singapura . Dah dua kali pergi Thailand kita ubah angin pula. Dengan mak hang memang jalan jejauh je...dengan pak hang Port Dckson pun tak sampai. Sedey betul.
Sejam di RWS kami ke Masjid Temenggung Daeng Ibrahim di tepi jalan besar kawasan Telok Belangah. Masjid dan makam di sebelahnya masih berada di bawah naungan Malaysia dan ditadbir oleh Jabatan Agama Johor. Kerajaan Johorlah yang menanggung semua kos pembangunan masjid ni. Masjid ini juga menempatkan 32 makam kerabat diraja Johor zaman silam termasuk Sultanah Khadijah Khanum, Temenggong Abdul Rahman dan Temenggong Daeng Ibrahim. Teringin juga melawat makam tapi tali kuning direntang di tangga kerana ada renovasi. Kite risau nak buat bebukan di negara orang.
Kami terus dibawa ke souvenir shop di Pahang Road tapi kami masuk dari pintu belakang yang dari Istana Kg Gelam tu. Jeng jeng jeng....
Aku hulur not SGD10 untuk bayar barang berharga SGD8. Duit tu dari sampul dan mata aku tak lepas memandang pergerakan tangan dia. Dia kata nak bungkus dalam beg (paper bag) yang cantik. Dari mesin duit tu dia bawa barang dan resit ke hadapan aku sebab kat situlah begnya. Sesudah tu aku minta baki duit, dia kata, "tu dalam envelope". Aku memang ada not 2 dollar.
Aku pun, eh ye ke? Rasa macam belum lagi sebab mata aku memang pandang tangan dia je. Eh.. aku pula confuse. Aku tanya anak, anak kata dia belum bagi lagi. Kecik besar kecik besar je aku pandang dia. Walaupun sekadar 2 Singapore Dollar, keberanian dia menipu secara terang-terangan dan memanipulasi pelanggan tu sangat biadap eh. Satu PENIPUAN. Boleh pula dia nampak duit dalam sampul aku.
Kemudian pelanggan seterusnya hand over SGD10 untuk bayar t-shirt SGD8. Dia buat bodo tutup cash mesin. Bila diminta baru dia bagi dua dollar. Cilanat betul! Agak agak dah berapa ramai pelancong kena kelepet? Biasalah pelancong ada yang terkial-kial membayar guna matawang asing. Aku dari sehari ke sehari nak report to Singapore authority tapi tak buat lagi. Orang macam ni perlu diajar. Hishhsh..
Panas hati tapi aku tak bagitau driver.
Destinasi seterusnya ni rasa wow sangat dapat menjejakkan kaki. Walau hanya melihat bangunan tinggalan tapi tak sangka akhirnya sampai ke bekas Studio Jalan Ampas. Bayangkan dahulu kita tengok di tv hitam putih je sekarang berada depan mata. Cuma aktor-aktornya sudah tiada 😢
Kite dah sampai di no 8, Jalan Ampas. Very nostalgic.
Tapak bekas studio Jalan Ampas.
Kemudian kami makan tengahari di Restoran Tasneem. Driver turunkan kat kan situ kami pun terus naik tak banyak cakap nak makan kat sekian-sekian restoran. Aku pun baru tiga kali ke Singapura, dua kali yang pertama tu makan murtabak je.. portion besar jadi aku simpan setengah bahagian untuk dinner. Kali ni aku seorang je perempuan, para lelaki dalam kumpulan aku sakan makan. Aku kata makan bagi perabih mahal ni oih.
Lepas tu masuk masjid dan solat. Tak mengukur jalan pun ke kedai-kedai depan masjid, bosan eh berjalan dengan bebudak lelaki 😏. Berdekatan Restoran Tasneem ada sebuah muzium persendirian - haji yusoff Museum, bagus juga kalau kita dapat meluangkan masa di situ barang sejam dua.
Kami makan di Restoran Tasneem di belakang Masjid Sultan. Dulu dah pernah cuba Zam Zam.
Pandangan sisi Masjid Sultan.
Pandangan dari ruang solat wanita Masjid Sultan.
Masjid Sultan dari tingkat satu Restoran Tasneem.
Belakang Masjid Sultan dari Restoran Tasneem.
Haji Yusoff Museum berdekatan Restoran Tasneem (private museum).
Malabar Mosque
Tempat yang tak patut jika tak termasuk dalam senarai lawatan ialah Bugis Street. Nak buat apa kat situ? SHOPPING souvenir yang menarik dengan harga berpatutan. Awal awal lagi sebelum ke kedai hamlau tu aku cakap nak ke Bugis Street tapi pemandu bawa ke sana dulu.
Dari bulan September 2024 ke Januari 2025 tinggal empat bulan je lagi jadi aku beli souvenir sesiap untuk cikgu-cikgu anak-anak aku, jadi habis penggal persekolahan nanti tak kalut. Arahannya, sorang bagi tiga cikgu je hehehe.... Tak mampu kite nak bagi cikgu semua subjek. Banyak souvenirs yang pocket friendly di sini.
Kalau cari duit di Singapura dan habiskan di Singapura, harga ni memang sangat murah. Oleh kerana cari duit di Malaysia, aku tak belilah sebab di Malaysia pun ada.
Gardens By The Bay
"Taman bandar" ini seluas 105 hektar bersebelahan Marina Reservoir. Ada tiga taman tepi laut dalam ni
- Bay South Garden di Marina South, Bay East Garden dengan Founders' Memorial di Marina East dan Bay Central Garden di Downtown Core dan Kallang (kami pergi sini kot 😇).
Flower Dome seluas 1.2 hektar dengan suhu mediteranian yang sejuk dan kering di sini direkodkan sebagai rumah kaca yang terbesar di dunia. Ada lapan taman dalam Flower Dome yang diberi nama The Baobabs, Succulent Garden, Australian Garden, South African Garden, South American Garden, Olive Grove, California Garden and the Mediterranean Garden. Taman-taman ini mempamerkan bunga-bunga eksotik dan tumbuhan dari negara Mediterranean and kawasan separa gersang dari lima benua.
Gardens by the bay.
Gardens by the bay.
Gambar iconic Gardens by the Bay.
Eye on Singapore.
Marina Bay Sands dari Gardens by the Bay.
Dalam trip tahun 2018 dulu, lepas Gardens by the Bay kami ke Marina Bay Sands untuk melihat Spectra – A Light & Water Show - persembahan air pancut dengan simbahan cahaya lampu warna-warni. Lokasi paling dekat ialah di Event Plaza.
Spectra dipersembahkan setiap jam lapan malam selama 15 minit. Nak dapat posisi paling strategik kena datang awal.
The Merlion Park
Sesiapa yang melancong ke Singapura tetapi tak singgah sini dikira tak lengkap lawatannya.
The Merlion is the official mascot of Singapore. It is depicted as a mythical creature with the head of a lion and the body of a fish.
Marina Bay Sands Singapore. Bangunan ikonik yang banyak terdapat dalam cenderahati Singapura.
Esplanade - Theatres on the Bay, Singapore.
Kiri sekali, adik. Anak yang tengah tu kemain susah bergambar, kalau dapat pun muka masam je 😏
Pejabat The Malayan Council.
Lokasi seterusnya, the Rain Vortex, Jewel Changi Airport.
Jewel Changi ialah tempat hiburan dan kompleks membeli-belah bertemakan alam semulajadi di Changi Airport, Singapore. Fasad kaca-dan-keluli toroidal telah direka oleh konsortium arkitek diketuai oleh Moshe Safdie, yang juga merekacipta Marina Bay Sands. Ia adalah air terjun dalam bangunan yang tertinggi dunia.
Di Singapura ni hanya ada penerbangan antarabangsa. Untuk urusan pengangkutan seharian sila guna metro, bas, teksi dan e-hailing yang cekap dan menepati masa.
Sampai juga sini. Alhamdulillah.
The Rain Vortex, Jewel Changi Airport.
Bersama the three boys dan apaknya.
Lokasi terakhir ialah rumah besan mak😁. Selain hendak melawat negara baharu, tujuan lain ke sini ialah untuk menziarahi keluarga baharu. Eh...lif kat perumahan ni ada nombor 4! 👀 #ytjt
Begitu;ah perjalanan sehari suntuk kami di Singapura. Aku rasa puas hati dapat bawa anak-anak dan suami ke sini. Walau sekejap sekurang-kurangnya mereka tahu dan dapat melihat sendiri Singapura atau Temasek yang pernah bersatu dengan Malaysia sebelum dipisahkan dari Persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965. Pengisyhtiharan pemisahan ini telah dibuat oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia pertama di Dewan Rakyat.
Setelah perpisahan tersebut, Perdana Menteri Singapura yang pertama, Lee Kuan Yew, bertekad mengubah sebuah negara 'berlumpur' kepada negara maju berpendapatan tinggi ketika beliau mengepalai negara tersebut (ada video ceramah yang penuh semangat ini). Beliau sangat tegas dengan pesalah rasuah.
Dalam konteks Asia Tenggara, Singapura merupakan sebuah ekonomi dengan nilai lebih AS$500 bilion, yang juga antara 30 ekonomi utama dunia. Dengan rekod Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per capita hampir AS$90,000, ia menempatkan republik di tangga teratas dalam kalangan negara-negara ASEAN.- Astro Awani 6/10/2024.
Jemput tengok pos lama
di sini yang ada lawatan ke Madame Tussaud.
.
.
.
Aku : Adik, best tak pergi Singapore?
Anak bongsu : Tak, tak boleh beli beli (😂😂)
0 Comments
Feel free to leave your comment below. Thank you.