Johor | Taman Negara Tanjung Piai



Johor | Taman Negara Tanjung Piai | Sebelum ke Tanjung Piai kami nak sangat melawat Zoo Johor 
memandangkan is baru dibuka semula selepas renovasi lagipun harga tiket diberi diskaun. Selepas sarapan di Warung Pokok Cherry kami ikutlah jalan dalam google map. Di satu persimpangan tu ada banyak kereta parkir jadi aku ingatkan ada kenduri di bangunan besar memana tapi orang perempuan tak pula berbaju kurung. Lah...mereka beramai-ramai nak masuk zoo huhuu... kawasan parkir tepi laut pun penuh. Tak sanggup aku mat, maka Masjid Sultan Abu Bakar pun tak jadi pergi (area situ juga).

Teruslah kami ke Tanjung Piai yang merupakan tanah paling selatan di benua Asia. Sangat popular tempat ni dikalangan warga tempatan dan Singapura. Bila kita sampai tu kan rasa seronok rasa macam dah capai sesuatu sebab kat negara lain takde kot. Perasaannya sama macam sampai ke the Tip of Borneo di Tanjung Simpang Mengayau, Kudat. Situ pun kite dah sampai wak..

Taman Negara Tanjung Piai (Johor) ditubuhkan pada tahun 1997 untuk melindungi tapak unik ini terutamanya paya bakau dan kawasan berlumpur yang saling memberikan fungsi penting kepada ekosistem kita. Pada tahun 2003, Taman Negara Tanjung Piai diiktiraf oleh Konvensyen Ramsar sebagai Tapak Ramsar atau Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa. The southernmost tip of Asia 'dipagar' oleh pelbagai jenis pokok bakau yang berfungsi untuk menghalang hakisan air. Dengan adanya binaan pemecah ombak, hakisan di kawasan ini semakin berkurangan dan pokok bakau kembali tumbuh melata.


Mercu Tanda Tanjung Piai
Mercu tanda telah dibina oleh kerajaan negeri Johor daripada gentian konkrit mesra alam berukuran 20 m tinggi dan 10 m lebar. Warna kelabu pada mercu tanda Tanjung Piai menggambarkan kekayaan hutan paya bakau dan dataran lumpurnya. Dua pelepah pula ialah Paku Piai Raya (Acrostichum Aureum). Paku Piai didapati tumbuh dengan banyaknya bersama pokok bakau di sini. Tanjung bermaksud tanah atau tanah tinggi yang menganjur ke laut.

Pokok paku piai diukir pada mercu tanda Tanjung Piai.

Menikmati Kehijauan Di Tepi Laut
Tanjung Piai terletak pada latitud 01.16 `utara dan longitud 103.30.46 ` timur. Untuk sampai ke titik paling selatan benua Asia, telah dibina laluan kayu berkembar. Berjalan di sini sebelum matahari tegak di kepala seronoklah, jika pergi di hujung Dhuha macam kami berkicap beb. Berpeluh-peluh basah baju.

Sambil berjalan tu toleh kiri kanan perhatikan pokok-pokok bakau yang berlainan spesis. Kalau nasib baik akan terserempak dengan monyet. Tunduk ke lumpur kita akan nampak ikan belacak, ketam, kerang dan iguana air di habitat asli mereka. Bagus bawa bebudak sekolah ke sini untuk belajar tentang alam. Kalau dapat budak yang petah bercakap jenuh melayan soalan.

Di pokok tertentu ada papan tanda menyatakan nama pokok. Di tempat lain pula ada informasi tentang tumbuhan lain pula. Berjalanlah kita secara santai sambil menyerap maklumat.

Yang mengecewakan ada sampah di celah akar bakau yang mencacatkan pemandangan. Tak tahulah dibuang oleh pelawat atau hanyut dibawa air. Tolonglah sama-sama jaga kebersihan. Dapat melihat alam yang cantik pun rezeki tau.



Pokok bakau minyak.




Maklumat tentang bakau kurap.


Kawasan binaan berbentuk globe yang ada kini lebih kecil berbanding 10 tahun lalu (boleh tengok perbezaannya di sini nanti). Menurut staf bertugas, hanya itu kawasan yang selamat dari hakisan. Sempit ya, tak boleh kau nak mencelah ambil gambar dari kiri ke kanan ke sementara tunggu giliran. Dari hujung tanjung ni kita boleh nampak Jurong di Singapura dan Pulau Karimun, Indonesia.

Arca globe yang menandakan titik terselatan benua Asia. Ketibas dibuatnya menunggu giliran kebetulan ramai pula masa tu.

Di Jeti 3 Negara, arah berlainan dari globe.

Tak perasan pula 0 kilometer ni. Kalau tak sure dah berhenti. Gambar dari sini

Untuk maklumat lanjut sila baca di laman sesawang Johor National Parks.


Tiket Masuk Ke Taman Negara Tanjung Piai

Harap dapat ditukar semua ke Bahasa Melayu. Laman sesawang kerajaan dan ejensinya tak sepatutnya menggunakan bahasa rojak. Rengsa mate kite.


Bagaimana Untuk Ke Tanjung Piai?
1. Jika menggunakan lebuhraya utara-selatan PLUS, keluar di tol Simpang Renggan selepas Machap kemudian ikut arah ke Pontian/Benut. hang ikut ja signboard ke Tanjung Piai.

2. Jika dari Johor Bahru, masuk Lebuhraya Jalan Skudai ke arah Pontian/Pontian Kechil. Di Pekan Nenas, belok kiri ke Jalan Peradin, ikut jalan luar bandar dan belok kanan di Jalan Belokok. Di simpang belok ke Jalan Kukup-Pontian menuju ke Kukup . Selepas itu, ikuti papan tanda ke Tanjung Piai.

3. Tiada perkhidmatan bas terus ke Tanjung Piai. Stesen bas terdekat di Pontian, dari sana kena sewa teksi. Bincang dengan pemandu teksi camner nak balik.


Alamat:
Taman Negara Johor Tanjung Piai
82030, Mukim Serkat Pontian,
Johor Darul Takzim.

Tel : +6013-744 0956 (WhatsApp)
Pejabat : +607-6960264

Facebook: https://www.facebook.com/tnjtanjungpiai
Instagram: taman_negara_johor_tanjung_piai



Post a Comment

0 Comments