Johor | Apa Yang Menarik Di Iskandar Puteri?



Johor | Apa Yang Menarik Di Iskandar Puteri? Selepas seharian di Singapura kami kembali ke pangkal jalan di Kota Iskandar. Apartment yang kami sewa tu jenis studio tapi selesalah juga, takde yang tidur atas lantai. Di sinilah aku dapat lihat bagaimana hartanah jenis studio diubahsuai menjadi penginapan selesa untuk single person. Aku dok bayangkan dapur diasingkan tapi rupanya bilik yang disekat dengan dinding kaca dan sliding door. Insyaallah aku takkan beli jenis ni hahahah...

Kawasan Kota Iskandar ni ibarat Putrajaya yang dibina secara terancang dari tanah kosong. Ada pejabat kerajaan, masjid, stesen bas, taman dan lain-lain tetapi masih belum sibuk. Banyak kediaman bertingkat menjangkau langit je kat sini.

Semalam pemandu kami suggest makan kuih bakar, rupanya Kafe Kuih Bakor. Selepas melayan anak-anak berendam di swimming pool kami pun ke sana tapi tak makan di situ, kami makan ayam penyet/gepuk di sebelah. Tapau je kuih bakornya. Sedap, ada pelbagai jenis yang pedas pun ada.

Pemandangan malam dari apartment sewaan kami di Kota Iskandar. 

Siangnya.



Sebenarnya banyak juga tempat yang boleh dilawati di Kota Iskandar, Iskandar Puteri ni. Kami pergi mana sempat sajalah sebab konon nak pergi zoo Johor sekali. Lokasi pertama yang dilawati:

1) Taman Botani Iskandar
Cantiknya tempat ni!! 
Masa kami sampai aku nampak kelopak bunga ros berselerak jadi aku suspek ada orang buat wedding photoshoot di situ. Komen-komen pelancong dari seberang tempat ni macam eropah (dengan suhu Sahara 😂). Beneran donk, sesuai sangat nak ootd kat sini.

Tak dapat nak berjalan jauh ke bangunan atas tu sebab hujan renyai semakin kasar. Taman ini mengingatkan aku kepada Moroccon Pavillion Putrajaya.





2) Masjid Kota Iskandar
Kebetulan dah masuk waktu Zohor jadi kami terus solat jamak di sini. Aku suka masjid ni disebabkan kesederhanaannya. Damai je rasa. Banyak pokok bunga cempaka di tanam di persekitaran masjid, cuba bayangkan wanginya di waktu pagi dan malam. Nyaman.

Masjid Kota Iskandar hanya 1.3 km sahaja dari Taman Botani Iskandar.


3) Legoland Malaysia Resort
Kami tak pergi sebab ada sorang je budak kecik. Hanya 4.1 km dari masjid.



4) Dataran Mahkota
Sila datang sini untuk menikmati senibina indah. Boleh sewa basikal,tengok air pancut, tengok bunga... Dataran yang luas memisahkan Bangunan Dato Jaafar Muhammad dan Bangunan Sultan Ismail. Jauhnya 3.4km dari Legoland.

5) Puteri Harbour
Hanya 4.4 km dari Legoland. Puteri Harbour ialah tempat bot dan kapal layar mewah berlabuh macam di Telaga Harbour Langkawi. Terdapat terminal feri antarabangsa untuk ke Tanjung Balai, Karimun, dan Batam, Indonesia. Ada banyak restoran dan hotel di sini.

Rasanya dulu pernah ikut media trip ke sini masa baru buka.

6) Eko-pelancongan Kampung Sungai Melayu
Terletak berhampiran Kota Iskandar, Nusajaya pusat pentadbiran kerajaan negeri Johor, kampung berkenaan yang di kelilingi kawasan paya bakau serta sungai, mempunyai nilai keunikan tersendiri dengan keadaan persekitaran perkampungan yang sungguh mendamaikan. 6.3 km dari Puteri Harbour, 8 km dari Legoland.

Berikut adalah aktiviti yang disediakan :

* Boat Tour
* Bird Watching
* Crab Catching
* Traditional Game
* Seafood
* Local Product
* Fisherman Lifestyle
* Malay Traditional Lifestyle
*Migratory bird is from November till March every Year

Sila hubungi:
+6019 704 5904 (Pn. Sharifah)
sungaimelayuecotourism@gmail.com

*Untuk sukan air - Stand-up paddle (SUP)
*Eksplorasi SUP paddle berkumpulan
Hubungi : Yus +6016-723 4323
yus.sempoiboogie@gmail.com

Wuuu...best! Gambar daripada page Tourism Johor.


Lawa teruk gambar ni.

7) Forest City
Sesiapa yang tak tahu fasal Forest City mungkin hidup dalam dunianya sendiri. Kontroversi nih. Kawasan ini dibangunkan dengan mensasarkan pembeli warga China tetapi kemudian kerajaan China cepat bertindak dengan membuat peraturan baharu bagi menghalang pengaliran wang ke luar negara mereka, jadi mengikut laporan media setakat ini hanya 5% sahaja dihuni.

Kawasan Forest City besar, bersih dan banyak pokok. Ada juga AirBnB di sini dan masa kami lalu aku nampak keluarga yang berjalan basah kuyup dalam swimming suit. Mesti best kolam tak ramai orang. Jaraknya 23 km dari Puteri Harbour. Aku senaraikan sekali di sini sebab kira sejalanlah.



8) Stadium Sultan Ibrahim @ Stadium JDT
Kali pertama ke sini masa hantar anak mendaftar di IKMJB. Kali ni datang lagi membawa pelancong kali pertama pula. Dari Forest City jaraknya 22 km, hanya 7.8 km dari Legoland.

Stadium Sultan Ibrahim menggantikan Stadium Larkin yang telah menempatkan pasukan bola sepak Johor sebelumnya sejak tahun 1964. Stadium ini mempunyai kapasiti untuk 40,000 penonton dengan kos pembinaan dianggarkan sebanyak RM200 juta. SSI menggunakan rumput jenis Natural grass (Zeon Zoysia Hybrid).

Stadium Sultan Ibrahim dinamakan bersempena dengan nama Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar yang menaungi negeri Johor ketika itu (kini Yang Dipertuan Agong Malaysia). Setakat ini stadium ikonik ini adalah yang tercanggih di Malaysia dan berkelas dunia.

Di sini ada service sewa limousin - Hummer Limo - dengan hanya RM30 seorang mengelilingi Stadium JDT. Murah babe. Limousin sepanjang 9.5 meter oleh memuatkan 20 orang dalam satu-satu masa.

*Mana ada orang naik limo ramai ramai 😁 Naik sampai padat tu bas mini hahahahha...




9) Laman Mahkota Istana Bukit Serene
Yang ini dah ke Johor Bahru. Kami singgah sat beberapa minit ambil gambar.

Mercu tanda mahkota Istana Johor yang tersergam indah ini menjadi pintu gerbang kediaman rasmi DYMM Sultan Johor dikenali sebagai Laman Mahkota Istana Bukit Serene. Ia terletak berhadapan dengan Danga Bay di Jalan Straits View.



Semasa di Stadium JDT dalam pukul tiga lebih, manager hotel bagi tau hotel penuh. Ya tuhan...masa tu lah dia nak bagitau pun. Panas hati aku weh. Dahlah penat turun naik kereta, kalau sorang takpelah ni ramai. Bukan senang nak dapat bilik untuk ramai orang dengan harga mesra poket. Kelam kabutlah aku cari hotel lain dan alhamdulillah dapat. Sebenarnya Allah nak bagi yang lebih baik.

Kami menginap di Rex Hotel Jalan Meldrum yang baru buka lima hari sebelumnya. Malam biasalah, ukur jalan di pasar karat Johor Bahru.




Sekian dulu, jumpa lagi!


Post a Comment

0 Comments