India | Ringkasan 5h 4m di Jaipur-Agra-New Delhi



India | 5h 4m di Jaipur-Agra-New Delhi | Alhamdulillah...impian telah menjadi kenyataan. I'm in India!!

Assalamualaikum semua...

Minggu lepas telah berjaya ticking one of my wishlist. Setelah sekian lama teringin ke India baru kini dimakbulkan Allah. Masa tiket Air Asia murah dulu, tambang RM400 terasa mahal sebab tak kerja sepenuh masa, hidup seadanya sahaja dengan beberapa orang anak yang masih belajar. Bila dah masuk semula ke dalam rat race ada pendapatan sendiri pejam mata je lah bayar tambang pergi balik RM1200. Mata je pejam tapi fikiran teringat-ingat huhuu...

Sesiapa yang mengikuti blog ini pasti tahu yang aku selalu mengembara sendirian. Solo travel. Namun, untuk ke India sendirian aku agak cuak dengan terhidangnya berita-berita kurang enak. Selalu terfikir okay ke jalan sorang sorang nanti? Keluar malam selamat ke?

Akhirnya aku mendarat di Jaipur International Airport, Rajashtan, 1.10 pagi 19 September 2024 bersamaan 10.40 malam 14/9/2024 waktu tempatan. Lama ya tersangkut kat kastam sebab mesin pengimbas tak berfungsi dengan baik. Foreigner dalam 10 orang je tapi kami paling akhir keluar. Stress gue. Dahlah flight pun delay sejam, nasib baik air-cond on dalam kapatebang tu. Oh ya, selesai je semakan imigresen kau jalan dalam 30 tapak ada seorang lagi check passport. 

Ingatkan semua penumpang dah keluar dari airport rupa-rupanya masih ramai beratur untuk diperiksa kastam pula. Bagusnya di sini, pegawai tu panggil penumpang wanita untuk diperiksa oleh pegawai wanita dahulu secara berasingan. Yang tak bagusnya pula, barang kau termasuk handbag handphone di conveyor belt sini, engkau kena periksa di sinun. Cuak okeh takut barang hilang sebab macam kelam kabut kat situ. Kat sini pun nak check passport juga ya...tak faham den.

Tour guide aku berkali-kali cuba contact malangnya aku tak set roaming. Driver pula tunggu selama dua jam untuk hantar ke Amayra Hotel Jaipur dan aku tak dapat bagi tips sebab takde duit kecil. Kesian. Aku check in 2.45 pagi waktu Malaysia 😩


Kali Pertama Ke India

Hotel Amayra ni 2.3km je dari pusat bandar dan berdekatan jalan besar. Sebelah hotel ni ada satu restoran yang naan cheese dia lembut dan sedap. Vegetarian briyani pun sedap. Sarapan pagi di hotel ni sendiri pun sedap baq hang... Hari pertama makan sikit je sebab masih takut takut lagi maklumlah macam-macam cerita dah dengar tapi hari kedua pulun...hahahah...ala.. aku lagi suka makanan hari pertama. Rasanya kalau datang kali kedua pun nak duduk sini juga sebab breakfast sedap hehe....

Breakfast like a king.

Dah aku dok puji masakan kat Hotel Amayra sedap, F&B Manager terus tunjukkan chef. 

Pagi tu seperti biasa aku berjalan-jalan dulu di sekitar hotel. Apa yang aku nampak ada beberapa cottage industries (SME), gem house, jwellery and handicraft centre etc. Awal sangat kedai pun tak buka lagi.Malam tadi ada banyak kereta park dekan bangunan depan hotel dan pagi tu aku nampak para lelaki tersebut mandi kat paip depan tu. Tak pasti mereka tidur dalam kereta atau dalam bangunan.

Auto-rickshaw (auto/bajaj)  adalah kenderaan awam yang penting di sini. Banyak ye...macam dalam filem hindustan/tamil tu dan bingit hahhahah...Masa berjalan tu aku nampak ramai muslim di sini. Yang perempuan berjubah dan purdah hitam. Yang tak berjubah memakai salwar kameez dan menutup muka dengan tudung mereka. Nampak mata je. Wanita India kesemuanya memakai sari atau salwar, majoritinya sari. Lelaki musim pakai kurta dan berkopiah. Bila masuk opis aku cakap dengan colleague India, orang sana semua bertutup pakai sari you aje pakai skirt pendek! Kah! Mengetap gigi dia tapi tak boleh marah sebab aku belikan souvenir hahahhaha...

Lelaki di sana pula rata rata pakai kemeja. Kalau hampa tengok gambar lama di tanahair kita ni, bapak-bapak dan atok-atok kita dulu pun macam tu, kemas aje sebelum popularnya t-shirt. Lagi satu orang Rajashtan berkulit agak cerah (satu tona saja dari Melayu) dan mempunyai rupa yang agak menarik. Dahlah hidung mancung kan.. Sungguh. Ramai yang menunggang motor sejenis dengan Royal Enfield Thunderbird. Bukan kapcai tapi tak besar sangat, banyak dalam filem mereka.

Lembu bebas di bandar. Ada juga peniaga yang menggunakan kereta tarik menggunakan tenaga manusia. Di tepi jalan ramai yang menjual teh masala dan pani puri (malam). Kawan-kawan makan ai cuma temankan je. Kito nok suasano jah.

Kali ni aku macam beku sket sebab semua dah diatur. Selalunya habis segala jalan aku lalu sementara tunggu kedai/pusat pelancongan dibuka. 

Awal pagi masa check-in.

6.30 pagi

Hotel Amayra Jaipur

Penjual teh masala. Bapak baak dari Indonesia try sini pulak.



Lawatan ke Amber Fort

Lawatan pertama kami ke Amber Fort atau Amer Fort. Jaipur atau "pink city" ialah ibu negeri Rajashtan dipenuhi dengan bangunan lama dan baru seperti yang berwarna merah bata atau merah jambu. Pada 2019 Jaipur telah dinamakan "World Heritage Cities". 

Dalam perjalanan sejauh 5.2km tu aku nampak ada orang bawa unta untuk bergambar lah kot sebab berhias kain atasnya. Kami berhenti di sebelah Maota Lake untuk bergambar dan bertukar ke jip. Untuk naik ke Amber Fort tu kita akan mealui barisan kedai yang semuanya aktif berjualan. Yang jual kerepek pun ada. Semakin ke atas jalannya semakin mengecil dan agak teruk di sebahagian tempat. Sebelum sampai ada bayaran masuk dikenakan. Untuk jip kalau tak silap 50 rupee.

Dari tempat naik jip nampak Amber Fort di kejauhan.

Dari parkir kita kena berjalan naik. Dari situ pun dah boleh nampak betapa bagusnya jalan yang mereka bina dahulu, kukuh dan tahan ditelan zaman. Ramai peniaga cenderahati cuba menarik perhatian kita, yang boleh bercakap perkataan Melayu pun ada; ini seratus ringgit, mau berapa, ini mura..kaka lihat ini...menunjukkan ramainya warga Malaysia ke sini 😊





Cantik saree diorang. Bila berjalan kain saree ditarik sehingga menutupi muka.

Aku recommend student yang belajar senibina untuk datang melawat Jaipur untuk melihat keindahan senibinanya. Ground package to Golden Triangle tak mahal mana untuk cover Jaipur-Agra-Delhi. Sangat cantik ya bangunan empat tingkat ni dengan sandstone dan marmar tebaik dizaman itu. Bayangkan maharaja yang ada 12 isteri semua ada bilik seorang satu, bilik para gundik lagi.. ada tempat rehat dengan pemandangan tasik di bawah sana..mewahnya hidup dia. Tengok filem hindustan je lah untuk bayangkan kemewahan tu. Hebat betul idea manusia ratusan tahun dahulu melangkaui teknologi moden. 

Aku suka guide untuk hari tersebut, Mahesh, tuturnya lembut dan lancar penerangannya. Dia juga jurufoto yang baik. Terus aku nampak lawa dalam gambar hahahaha...Aku akan masukkan lebih banyak gambar di pos khas untuk Amber Fort sahaja. Nanti baca na.

**Kalau nak beli souvenir boleh beli kasut di sini INR100 sahaja kat ane yang paling hampir dengan parkir. Dia terus bagi INR100 tak yah buang masa tawar-menawar. Ane ane kat atas tu, di bandar atau Agra dan Delhi tak jumpa yang semurah itu.


Patrika Gate

Selepas makan tengahari kami ke Patrika Gate, salah satu tarikan pelancongan popular di Jaipur. Patrika Gate adalah bangunan baharu yang dibina oleh Patrika Group of Newspaper di Jawarhalal Nehru Marg dan dibuka kepada umum pada 2016. Ia dibina sebagai memorial yang mengetengahkan senibina dan budaya seluruh daerah di negeri Rajashtan.

Patrika Gate merupakan pintu masuk ke Jawahar Circle Garden. Ramai pengunjung masa kami ke sini. Ada dua pasangan buat post wedding photoshoot sebab hasil seni yang sangat menarik, ada yang sesaja melawat dan ada sekumpulan kanak-kanak sedang belajar bermain roller blade di kawasan lapang di belakang. Meriah!

Apa yang nak dibuat di sini? Bergambar sahaja.



Albert Hall Museum

Muzium Albert Hall adalah yang tertua di Rajashtan dan berfungsi sebagai muzium negeri. Ia adalah contoh terbaik Indo-Saracenic architecture dan dianggap muzium kurun ke-19 terbaik kerana variasi koleksinya.

Bukan tak minat tapi sudah agak lewat untuk kami menjelajahi keseluruhan muzium jadi kami ambil gambar dari jauh je. Aku perlukan minima dua jam untuk melawat satu satu muzium.

Hawa Mahal

Dalam jadual Hawal mahal akan kami lawati pada hari ketiga tetapi diubah kepada petang hari kedua. Mungkin tour leader kami, Ajay, nak bagi tengok dua situasi siang dan malam dimana suasana malam sangat cantik ya.

Hawa Mahal telah direkabentuk oleh Lal Chand Ustad dengan 953 tingkap kecil membuatkannya kelihatan seakan sarang lebah dan dibina pada 1799 sewaktu pemerintahan  Maharaja Sawai Pratap Singh. Warnanya merah dan merah jambu diperbuat daripada batu pasir.

Kami hanya mengambil gambar dari bahagian jalan, dari kafe bertentangan, tak masuk ke dalam Hawa Mahal. Seronoknya dah sampai sini sebab selalu tengok gambar kahwin atau iklan baju je kat sini. Selalu berangan nak pakai baju cecantik ada jurugambar sendiri siap lighting dan terus bawa balik album. Lain kalilah kot, kena pergi sendiri.

Sewaktu kami di sini berkumandang azan Maghrib dari masjid-masjid berdekatan berlawan dengan hingar-bingar jalan raya. Ramai ya umat islam di sini.

Kemudian kami diberi masa sejam sahaja untuk shopping. Mana cukup wehhh..!


Jal Mahal

Mahal lagi, apa maksud mahal? Mahal ialah istana dalam bahasa hindustan. Jal Mahal bermaksud water palace, istana atas air.

Jal Mahal dibina di tengah Man Sagar Lake di Jaipur dengan gaya Rajput yang popular di Rajashtan. Kami ambil gambar dari jauh je. Konon nak tengok masa matahari terbit tapi mendung pula pagi tu.

Jal Mahal

Selepas check-out kami terus bertolak ke Agra.

Sesampai di Agra terus check-in kedai 😄. Aku beli 4 leather di sini. Yang lelaki terus solat sini je.


Taj Mahal, Agra - persembahan cinta sang suami

Kami sepatutnya bertolak seawal jam lima pagi ke Taj Mahal untuk melihat matahari terbit tapi terlewat. Bagusnya dalam trip ini, tour leader kami sewakan buggy terus ke pintu masuk. Dari situ tak jauh dah berjalan. Boleh melecet peha kau kalau kena berjalan dari tempat turun bas tu. Ada stesen metro betul betul depan pintu masuk.

Taj Mahal yang terletak di tebing Sungai Jumna, merupakan makam yang dibina oleh Maharaja Shah Jahan (1614-1666) sebagai monumen peringatan untuk Mumtaz Mahal, isterinya yang kelima. Mula dibina pada tahun 1632 dan siap tahun 1648. 

Menggunakan senibina Mughal yang menggabungkan seni bina Parsi, Turki, India dan gaya seni bina Islam. Taj Mahal merupakan sebuah kompleks bersepadu iaitu merangkumi bahagian makam, dewan, taman rekreasi, masjid, menara tinjau dan lain-lain. Pada tahun 1983, UNESCO telah mengisytiharkan Taj Mahal sebagai Tapak Warisan Dunia yang perlu dilindungi. Bangunan ini dikatakan 'permata seni bina Islam'.

Menghadap ke Taj Mahal, di sebelah kirinya adalah masjid. Disebalik gahnya monumen ini ramai yang cacat dan terkorban dalam pembinaan makam ini. 

Tiket masuk 1300 rupee. Sila tinggalkan bendera, chewing gum, lipstick, makanan, charger, monopod dalam kenderaan anda. Sesia je kena buang nanti.

Selepas mendaftar keluar kami bertolak ke New Delhi. Jauh mat.

6 pagi di Taj Mahal.





Qutub Minar

Qutub Minar ialah "menara kemenangan" yang melengkapkan komplek Qutub yang terletak di selatan Delhi. Sebahagian besarnya dibina pada 1199 - 1220 (25 tahun dahulu 😲) . Qutab-ud-din memulakan pembinaannya tapi hanya siap aras pertama.

Tiket masuk warga asing INR600 bayaran tunai INR550 ATM atau kad debit.

Ini pun aku akan buat satu blogpost lain insyaAllah sebab ada banyak gambar. Kepada yang belum berkesempatan ke Qutub Minar sebenar, boleh tengok yang replika di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.






India Gate

India Gate yang dahulunya dikenali sebagai All India War Memorial ialah tugu peringatan perang yang direka oleh Sir David Lutyens yang menjadi ahli  Imperial War Graves Commission yang juga mereka 66 tugu peringatan perang lain di Eropah.

Ia dibina sempena memperingati 74,187 tentera India yang gugur dalam perang dunia pertama. Tugu setinggi 42 meter ini terletak di Rajpath. Walaupun ia lokasi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa, kompleks tugu ni boleh dikatakan bersih.

Lawatan kami di sekitar Delhi adalah pada hari Ahad jadi faham faham je lah betapa ramainya manusia. Nak dapat gambar dengan clean background memang takdolah.

India Gate

Sempat singgah ke Janpath Bazaar walaupun sebenarnya aku nak ke Chandni Chwok. Kawan aku beli alas meja buat besar berulam 350 rupee je, murah giler.

Ugrasen Ki Baoli

Dieja juga Agrasen Ki Babri, lokasi ini ialah yang terakhir dalam lawatan kami sebelum berlepas pulang ke Malaysia. Ia adalah sebuah telaga bersejarah sepanjang 60 meter dengan 15 meter lebar. Dengan 108 anak tangga, ia menjadi lokasi pilihan untuk beberapa filem.

Baoli (stepwell) ialah struktur bawah tanah untuk menampung air bagi kegunaan musim kemarau. Dinding kiri dan kanannya dibina tebal dengan bentuk tingkap seperti pintu gerbang.

Masa kami datang, ada takungan air di bawah tu, ada juga gambar yang aku tengok tempat tu kering. Apa apa pun Ugrasen Ki Baoli ini sangat instagrammable.  

Kesimpulan Lawatan Ke India Golden Triangle

Aku gembira dapat melawat ke negara yang dah lama dalam my travel wish list, ke Taj mahal terutamanya. Orang kata pusinglah habis satu India pun tapi kalau tak ke Taj Mahal, anda sebenarnya belum sampai India. Haa...gituh.

Walaupun banyak tempat yang sakit mata memandang tetapi lokasi tumpuan pelancong berbayar bersih, tandas pun bersih cuma masa untuk satu satu tempat tu terhad sebab ini group tour. Kerajaan India bersungguh mengubah cara hidup rakyatnya dengan menyediakan banyak tandas di merata tempat. Yang berbayar pun ada. Sepanjang lima hari aku disana ada dalam 20 orang aku nampak kencing tepi jalan hahahhaha....mujur semua lelaki 😄😄

Untuk shopping, belilah di Jaipur sebab banyak pilihan dan murah. Belilah di mana orang tempatan membeli-belah. Di Hawa Mahal, cari kedai no 2, kain saree situ lebih murah daripada kedai lain.

Sebenarnya di India tak susah makan pun. Menunya mesti vegetarian, ayam dan kambing. Lembu dan vavih tak dimasak di semua restoran dan cafe yang kami singgah. Orang India yang tak makan makanan berdarah tak kira di Malaysia atau India, makanan mereka pelbagai dan agak pedas bukan macam omputeh yang vegetarian, balik balik salad boh black paper garam dan lada hitam. Apooo...(tapi senang nak turunkan berat badan).

Orang sana suka je bila aku ajak bergambar. Mereka nampak sopan dengan saree yang berwarna-warni. Saree adalah pakaian harian macam kita pakai baju kurung di sini.

Kesimpulannya, India menarik untuk dilawati. Aku rasa selamat je kalau kita berjalan di siang hari di tempat terbuka. aku harap selepas ni dapat ke Kashmir pula. Semoga tercapai setahun dua ni. Amin.


Post a Comment

0 Comments