'Healing' 3d 2n At Pulau Langkawi, Kedah | Apa yang baharu di Kereta Kabel Langkawi?



'Healing' 3d 2n At Pulau Langkawi, Kedah | Apa yang baharu di Kereta Kabel Langkawi?

Balik dari mangrove tour aku terus cari kereta sewa. Bila dah ada kereta panjanglah langkah. Berjalan seorang diri lagilah senang nak ke sana ke sini ke sinun. Diam je tau tau sampai.

Dari Pantai Cenang tu aku ambil kanan lalu Parkroyal hotel, markas TLDM terus ke pekan Kuah. Sepanjang perjalanan tu aku cuba mengingati hotel-hotel yang kami pernah menginap:

Hotel Region di Kuah (tak tahulah wujud lagi ke tidak)

Holiday Villa Beach Resort & Spa di Pantai Tengah

Nadia's Inn di Pantai Cenang (sekarang dah jadi hotel) 

Kampung Tok Senik Resort di Ulu Melaka (sedihnya banyak hutang dan akan dilelong)

Malibest Resort di Pantai Cenang

Kondo di Kuah

Ada lagi ke eh? Kalau bawa husband dia ingatlah kot.

Kali pertama ke sini dulu menginap di kuarters kerajaan, ada program apa entah yang allahyarham Abdul Aziz Desa bekas wartawan TV3 anjurkan.

Bila lalu di Pantai Tengah ralat jugalah hati tak dapat bermalam di Aseania Resort & Spa Langkawi dalam percutian sebelum ni. Sekarang statusnya ditutup sementara. So sad... Ada juga resort yang sudah ditutup sepenuhnya yang terletak di jalan nak ke Kereta Kabel Langkawi. Kesan pandemik covid 19 sangat susah untuk dipulihkan dalam sesetengah sektor perniagaan. Sedihnya tengok.

Sarapan pagi aku sama je kalau di luar, roti canai sekeping dan teh tarik. Yang di Pantai Cenang semalam tak sedap, kali ni makan di kedai kopi dekat persimpangan Kampung Kuala Teriang. Ngam! Roti canai garing di luar lembut di dalam. Teh tarik pun sedap. 


DUGAAN SEMASA BERCUTI

Masa tengah tunggu makanan ni lah cikgu sekolah call bagi tau anak jatuh dan akan dibawa ke Klinik Kesihatan. Aku bagitaulah aku kat mana. Kemudian GPK HEM pula call. Katanya dia dah siasat dan anak jatuh sendiri sebab berlari (tapak kasut tersekat ke lantai). "Saya rasa kena lima jahitan ni...". Aduh! Flight balik petang nanti. Selepas beberapa jam aku follow-up GPK kata kena tujuh jahitan. GPK kata anak aku dah takde di bilik dia/pejabat jadi dia ingat dah balik - aku pun sama - alih alih ustazah KAFA update gambar jamuan kelas dia ada kat situ 😏 Bab makan tak miss lansung. Terima kasih kepada cikgu-cikgu yang membantu. 

Owh...semalamnya pegawai imigresen Seremban called suruh aku datang untuk diambil keterangan. Katanya mereka ambush rumah sewa aku dan tangkap seorang takde permit kerja. Cam harey.... Nasib baik seorang je kena dan aku ada surat perjanjian. Mana aku tau dia boh orang lain dalam rumah tu, penyewa aku tu AA nama dia, dia punya sembang babi pun boleh terbang 😏. Dah pindah dah pun erghhh...

Sigh.

Kita kembali ke tajuk asal.


KEMBALI MELAWAT ORIENTAL VILLAGE

Lama betul tak ke sini. Aku ingat lagi ada sekeping gambar anak sulung masa dia tengah comel dulu di pintu masuk Oriental Village. Orintal Village ni di kaki Gunung Machinchang tempat kita naik kereta kabel Langkawi. Letaknya selepas Telaga Habour dan sebelum Air Terjun Telaga Tujuh.

Aku datang paling awal, 9 pagi, baru dua tiga kerat manusia je sampai. Kedai pun ada yang belum buka lagi. Dahlah di pertengahan minggu persekolahan jadi aku sangkakan akan sunyi sampai ke petang. Aku siap siap masuk tandas - RM1 oih - sebelum beli tiket yang pakej RM47 tu yang dapat ke Skycab, SkyDome, SkyRex , 3D Art Langkawi dan SkyBridge (Nature Walk). Langkawi SkyCab ialah antara tarikan utama pelancong ke Langkawi selain air terjun dan Pulau Payar. Shopping pinggan-mangkuk dah tentulah.

Masa ni pengunjung belum ramai lagi, nak bergambar pun senang. Aku menjangkakan pengunjung tak ramai disebabkan 9 Mei tu hari Khamis dan bukan peak season. Berjalan-jalan di Oriental Village mengimbau kenangan lalu, ada sentimental value. Rindu. Hingga sekarang pun aku masih suka ke Langkawi tapi nak pergi semua sekali agak susah. Nasihat aku, masa anak-anak masih bersekolah berjalanlah ke mana-mana. Ada duit pergi jauh sikit, tak cukup duit jalan dedekat je cari yang percuma. Cipta kenangan bersama, bahagia itu sederhana. Anak-anak kita sekejap je dah besar. Bila dah kerja biasanya susah dapat cuti panjang terutama yang bekerja syif.

PEMANDANGAN LANGKAWI DARI DALAM KERETA KABEL

Tiket Langkawi SkyCab boleh beli online tapi aku beli kat kaunter. Mereka bagi tag untuk dipakai sepanjang berada di sana. Masa nak masuk kena scan lah macam biasa.

Gondola ada empat jenis dan setiap satunya boleh dimuatkan dengan enam penumpang tapi aku dapat naik bertiga. Nak lebih selesa beli tiket VIP RM550 segondola. Gondola ni tak berhenti ya bila sampai dekat kita cuma perlahan sahaja jadi kita kena cepat dan berhati-hati semasa naik tu. Gondola stabil je tak berbuai sepanjang perjalanan naik dan turun, janganlah risau yang bebukan. Jika keadaan berangin kuat perkhidmatan gondola akan ditangguhkan. Safety first!

Sistem pengurusan kereta kabel ini dikendalikan oleh Panorama Langkawi Sdn. Bhd. (PLSB), iaitu anak syarikat milik penuh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA). Sistem pengangkutan kereta kabel ini dibina dari April 2001 hingga Ogos 2004 dan mula dibuka kepada umum pada 27 Februari 2005 untuk membawa pelancong ke puncak gunung yang tingginya 713 meter. Panjang kereta kabel Langkawi @ Langkawi Skycab ialah 2.2 km dan mengambil masa 15 minit untuk sampai ke puncak. Hebat kan teknologi, 15 minit dah sampai atas sana padahal kecerunan dari aras bawah ke stesen tengah 42 darjah, antara yang paling tinggi darjah kecerunan di dunia.

Gondola akan berhenti di stesen pertama yang tingginya 650 meter dari aras laut sebelum menyambung ke puncak Gunung Machinchang. Dari pelantar tu dalam cuaca baik kita boleh nampak pulau-pulau di selatan Thailand dan Laut Andaman yang terbentang luas. Inilah seronoknya naik ke Gunung Machincang sebab kita dapat menikmati pemandangan hutan gunung dan laut yang lebih luas. Indahnya alam ciptaan Allah. Subhanallah.




Kedatangan kali ini memang khusus untuk naik SkyBridge atau jambatan gantung. Cubaan kali pertama dulu sampai dah petang, SkyBridge dah tutup. Kali kedua ditutup untuk penyelenggaraan pula tapi masa tu tiket belum dipakejkan lagi, takdelah terasa mahal sangat.

Kite tak naiklah SkyGlide lagi pun alah...takkan tak boleh trekking 10 minit ikut jalan hutan tu. Pergh...boleh tahan juga turun naik fuhh..! Yang tak berdaya boleh naik SkyGlide untuk perjalanan dua minit sejauh 94 meter. Satu kabin boleh memuatkan 12 orang, kalau aku masuk berat yang dibenarkan berbaki 976kg lagi 😁😁. Tiket boleh dibeli di kaunter stesen atas RM16 dewasa dan RM11 kanak-kanak untuk dua hala. Nak beli sehala sahaja pun boleh.

Gambar SkyGlide daripada panoramalangkawi


Kite jalan kaki jer...gigih ya untuk ke jambatan gantung yang tingginya 100m dan panjang 125m. Boleh tahan penat jugalah berjalan turun naik untuk orang yang malas bersenam. Kagum dengan kepintaran otak manusia membina struktur jambatan bengkok di ketinggian begitu. Macam manalah cabaran yang mereka hadapi dulu kena bawa tiang dan komponen lain dengan helikopter.

Tak ramai sangat orang masa ni.

Laluan ke jambatan gantung @ SkyBridge

Langkawi SkyBridge. Alhamdulillah dah sampai.

Ada beberapa kaca di jambatan. 

Selama ni tak tahu rupanya di SkyBridge pun ada lantai kaca cuma tak keseluruhanlah. Ku perhatikan ramai juga lelaki yang tak berani duduk sini, yang mengalih pandangan bila lalu pun ada. Aku rasa nak bergambar sambil berbaring tapi takut pula kalau orang ambil gambar aku tengah posing. Karang viral, malu. Tacod kite dengan mulut nurtizen yang tak mengira dosa pahala.

Berpatah balik, wah....ramainya pelancong nak trekking ke jambatan gantung sampai jam di tangga tu. Mengikut pengalaman sendiri yang selalu tidur di hostel, mereka selalu balik lambat dan bangun lambat sebab tu aku okay je kalau dapat shared bathroom (bathroom ensuite lagilah best). Takdenya mereka bangun pukul 5.30 pagi...tenang je mandi sensorang. Kebanyakan pelancong asing berkulit putih berjalan kaki. Mereka memang sukakan cuaca panas dan hutan hujan tropika kita. Hutal tebal pun jadi tarikan untuk orang melancong ke sini jadi pandai pandailah kita jaga keindahan dan kebersihan negara. Warga Korea bila bangun pagi akan fikir, apa yang perlu aku sumbangkan untuk negara aku hari ini? Kita pun kena macam tu. Paling mudah, nak belok kiri kanan bagilah signalllll...! tiber.

Selain itu, tarikan terbaharu di atas tu ialah Eagle's Nest SkyWalk. Platform kaca sepanjang 38 meter ini boleh menerima 300 pengunjung dalam satu satu masa.

Eagle's Nest Skywalk. 

Begini rupa Sky Nest dari atas.


Dah paling ataslah ni.

Walaupun tak sempat cover semua yang dibayar tapi aku agak berpuas hatilah, boleh potong satu wishlist. Nanti kite datang lagi insyaallah.

HARGA TIKET DAN PAKEJ LANGKAWI SKYCAB
Ada banyak pakej untuk menikmati pengalaman berlainan. Murah ke mahal mengikut kemampuan poket masing-masing. Yang diiklankan paling murah pakej RM43.00 tapi aku beli yang RM47 seorang.

TARIKH PENYELENGGARAAN KERETA KABEL LANGKAWI
Dalam merancang untuk naik Langkawi SkyCab, pastikan bukan di waktu ia ditutup untuk penyelenggaraan iaitu 9 hingga 22 Julai 2024. SkyCab aje tutup yang lain on..


Kalau naik waktu berkabus macam ni tak nampak apa. Gambar https://panoramalangkawi.com/skycab/

Bagi yang berjiwa adventure and banyak tenaga, cuba naik dari Air Terjun Telaga Tujuh yang berhampiran dengan kaki Gunung Machinchang. Sepanjang denai (trail) pokok-pokok telah ditandakan untuk kemudaham pendaki. Kem Saintis dan Kem Mat Pauh boleh digunakan untuk berehat dan berkhemah.

Nanti kite sambung lagi. 


Post a Comment

0 Comments