Melaka | Coach Coach Coach. Coach Airways Tarikan Terbaharu Di Melaka!



PERASMIAN BUTIK KONSEP COACH AIRWAYS PERTAMA DI DUNIA DALAM PESAWAT

Sabtu lepas aku dijemput ke perasmian Coach Airways di Freeport A Famosa Outlet, Alor Gajah, Melaka. Dekat luar A Famosa Resort tu je...tak masuk bandar Melaka pun. Meriah sungguh la ada joget joget makan makan bagai. Perasmian ini juga sejajar dengan kempen Tahun Melawat Melaka 2024. 

Mendengar ucapan Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Ab Rauf Bin Yusoh, agak banyak juga informasi pelancongan Melaka yang diberitahu. Kerajaan Melaka ni memang pantas bab menghasilkan produk baru dan mereka sepakat. Kalau kerajaan Melaka bagi singgit, Tourism Malaysia akan bagi singgit juga. Begitulah ibaratnya, seiring mencapai matlamat. Mereka sedar akan kebergantungan kepada industri pelancongan.

Pelancong yang datang ke Malaysia membelanjakan 33.5% untuk membeli-belah dan Melaka mendapat 50% daripadanya. Biar bethollll...depa beli padia di Melaka??

Freeport A’Famosa Outlet secara rasminya memperkenalkan Coach Airways yang pertama di dunia iaitu sebuah pesawat Boeing 747 yang telah diubah suai menjadi butik dan kafe yang unik bagi produk jenama Coach. 

Bermula dengan cita-cita dan impian yang tinggi, projek ini telah bermula pada April 2021 dan akhirnya berjaya disiapkan sepenuhnya pada Mei 2023 selepas proses penilaian, perolehan, pemindahan, pemasangan dan ubah suai dilakukan pada pesawat Boeing 747. Dengan panjang badan pesawat 231 kaki 10 dan lebar rentang sayap sepanjang 195 kaki 8 inci, pesawat Boeing 747 ini pada suatu ketika dahulu pernah menjadi pesawat awam terbesar pada tahun lewat 1960-an. Pada hari ini, pesawat kemegahan ini telah bertukar peranan menjadi Butik Coach yang pertama di dunia.  

Selain menjadi tempat beli-belah, konsep butik ini juga melambangkan kemewahan dan prestij untuk semua rakyat Malaysia secara amnya dan penduduk di Melaka secara khususnya”. Datuk Julian Lau, Pengarah Urusan Freeport A’Famosa Outlet berkata, “Projek ini telah dimulakan sejak dua tahun yang lalu dan semua pihak yang terlibat telah berusaha dengan gigih untuk menyiapkan mengikut rancangan yang telah ditetapkan bagi memastikan pesawat Boeing 747 ini menjadi butik yang eksklusif dan unik bagi jenama Coach”. 

Bak kata Datuk Julian, nak bawa pesawat tu ke Freeport murah saja dalam RM200 ribu tapi nak mencantikkannya agar nampak menarik dan ekslusif selain mengambil kira faktor keselamatan tu yang susah dan memakan kos yang tinggi. Bab ni aku faham sangat sebab aku terlibat dalam proses licensing di tempat kerja.

Sejurus selepas KM berucap kami berlari ke tempat perasmian iaitu di depan jambatan udara. Selit punya selit tak sangka aku dapat ambil gambar bebetul di tempat KM tandatangan plak. Tetiba rasa bangga hahahahah...tak sangka dapat depan sekali. Untung dulu selalu bergaul dengan petugas televisyen dan wartawan, kita ikutlah cara kerja mereka. Kita pun dijemput ye dok?

Siap Bomba pancurkan air lagi macam inaugural flights landing gituh.

I sampai ke depan uolsss..

Selepas tu aku terus masuk ke kokpit (terlepas lagi hehehe..) dan menunggu rombongan KM di situ. Oh ya, keadaannya macam kita naik kapal terbang yang masih berfungsi, masuk je jumpa kokpit dahulu. Ruang kedua baru ada pameran jualan barangan Coach.

Selain ruang butik, pesawat ini juga dilengkapi dengan ruang tetamu, galeri yang menakjubkan dan kafe kotemporari bagi memberi peluang pelanggan ruang untuk berehat dan menikmati hidangan ringan sambil menghayati keseronokan suasana pesawat yang telah siap diubah suai selain mencipta keunikan tersendiri. 



Kokpit sebelah kiri.

Para pengemar pesawat penerbangan dan membeli-belah boleh bersedia untuk merasai suatu pengalaman yang cukup memukau kerana Boeing 747 yang dahulu dikenali sebagai ‘Queen of The Skies’ kini dinobatkan sebagai ‘Queen of The Retail’. Reka bentuk pesawat yang luas secara tidak langsung memberikan persekitaran beli-belah yang selesa disamping dapat mengamit kenangan pada zaman kegemilangan perjalanan udara dahulu yang menitikberatkan nilai kemewahan dan keanggunan. 

Kalau kita biasa masuk atau tinjau dari luar saja pun kita mesti perasan, butik barangan mewah luas dan barangannya tidak terlalu banyak. Ruang yang luas tu menghasilkan rasa kemewahan selain produk itu sendiri.



Pas masuk yang menyerupai tiket penerbangan akan diberikan kepada pelanggan sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke jambatan udara menuju ke badan pesawat bagi menciptakan pengalaman sebenar menaiki pesawat udara. Pelanggan juga berpeluang untuk meneroka bahagian alam pesawat dan kabin runcit untuk melihat koleksi barangan Coach yang sedia dipakai untuk semua golongan yang terdiri daripada koleksi beg, kasut dan aksesori. Jenama Coach juga ada mengeluarkan koleksi Coach eksklusif menampilkan pilihan baju, beg bagasi beroda, beg tangan dan aksesori perjalanan seperti tag bagasi dan dompet kecil yang dicetak dengan simbol edisi terhad pada koleksi tersebut. 

Acara ini turut dihadiri oleh Dato’ Dr. Ammar Bin Abd Ghapar, Ketua Pengarah Tourism Malaysia yang merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan pengurusan Freeport A’Famosa Outlet atas pengiktirafan Malaysia Book of Record sebagai ‘First Retail Concept Store in An Airplane’, Kedai Konsep Pertama Dalam Kapal Terbang sekaligus menokok pelbagai penganugerahan yang diraih oleh negeri Melaka untuk menginspirasikan rakyat Melaysia agar terus cemerlang dalam pelbagai bidang sehingga melangkaui standard dunia. 

Coach Airways juga telah menerima anugerah Pengalaman Peruncitan Yang Unik, ‘Unique Retail Experience’ 2023 daripada Persatuan Taman Tema & Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MATFA) pada awal bulan ini. Ini sekali gus menandakan Freeport A’Famosa Outlet sebagai destinasi wajib dikunjungi untuk merasai pengalaman beli-belah yang terbaik daripada fesyen, sejarah dan inovasi yang sukar dilupakan. 



Malam sebelum majlis, pak guard nak hambat kami huhuu... ye lah kan, esoknya KM nak datang.


Nota:

1. Melaka akan ada produk baharu lagi. Kalau tak silap pendengaran aku, akan ada muzium kapal dan lucky draw dapat kereta setahun tiga kali. Aku kalau dapat Axia manual RM22k tu pun bahagia dah weh. 

2. Ramai juga ya orang membeli-belah di Freeport Afamosa Outlet. Aku pun dapat sehelai seluar 3/4 untuk anak yang saiz 2XL. 



Post a Comment

0 Comments