Talo Manoh @ Wadi Al Husen Mosque | Masjid tua tanpa paku di Narathiwat | Sebelum Perjanjian British-Siam dimeterai pada 9 Julai 1909, kedaulatan kerajaan-kerajaan Melayu di utara Semenanjung Malaysia ini melampaui sempadan moden Malaysia-Thailand yang membentang dari Kuala Sungai Golok di Kelantan ke perbukitan Bukit Puteh di Perlis.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Sir John Anderson (Governor Negeri-negeri Selat yang berpusat di Singapura) dan Setiausaha Luar Negeri Siam. Melalui perjanjian itu, kerajaan Siam menyerahkan negeri-negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu untuk bernaung di bawah pemerintahan Inggeris. Manakala wilayah-wilayah Satun (nama asalnya Setul), Trang (Terang), Pattani, Yala (Jala), Songkhla (Singgora) dan Narathiwat (Menara) menjadi hak mutlak negara Thailand. Maka terpisahlah wilayah-wilayah Melayu di selatan Thailand dengan negeri-negeri serumpunnya iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Pemerintah Melayu ketika itu terlalu lemah untuk menentang penindasan yang dilakukan pihak British-Siam dalam persempadanan Malaysia-Thailand, yang telah dilukis pada 1909. Walhal, wilayah selatan yang kini dibawah kekuasaan kerajaan Siam itu hampir keseluruhannya masyarakat Melayu yang bertutur Bahasa Melayu dan menganut agama Islam. Persempadanan dibuat dengan persetujuan pihak British selaku pelindung kerajaan-kerajaan Melayu dengan pemerintah Siam tanpa kerelaan sultan-sultan Melayu sendiri. Pasaipa bangsawan dan pemerintah ni tak mampu nak menentang tahulah kita.
Perjanjian ini dimeterai tanpa mempertimbangkan kesannya ke atas sosio-demografi masyarakat Melayu di utara Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand. Kalau kita pergi ke keempat-empat wilayah deep south of Thailand itu, kita buleh kecek Kelate jah walaupun kesemua mereka secara rasminya menggunakan bahasa Thai.
Sedihlah bila baca tentang perpisahan tanpa rela masyarakat Muslim di utara semenanjung Malaysia ni. Apa yang kita boleh buat, jadikan sejarah ini iktibar. Jangan gadaikan tanah air tercinta demi kemewahan sementara. Di zaman sekarang perjajahan tak semestinya menggunakan senjata dan kekerasan, ia mungkin hanya melalui a stroke of a pen, business dealings.
Itulah serba sedikit sejarah semenanjung Tanah Melayu dan Siam. Sejarah yang tak boleh diubah lagi. Yang bagusnya tiada perlaku perkara yang tidak diingini diantara kedua-dua negara sejak sekian lama malah pelancong kita bergasak pula masuk ke Thailand melalui jalan darat hingga sanggup beratur selama lima jam di imigresen semata-mata nak shopping dan makan makan.
Masjid tanpa paku
Di salah sebuah wilayah selatan Thailand, Narathiwat, ada sebuah masjid tertua yang dibina pada tahun 1624/1044 Hijrah. Seorang guru agama bernama Wan Husein As-Sanawi memulakan pembinaan masjid ini di daerah Bacho. Al Husein ialah ulama dan penyebar agama Islam yang terkenal di waktu itu. Masjid Talo Manoh, Telok Manok, Wadi Al Husein... kesemuanya merujuk kepada masjid yang sama.
Dua bangunan yang bersambung ini dibina dengan mengguna kayu Takhian atau Malabar berbumbungkan atap nipah, yang kemudiannya ditukar kepada atap genting. Pembinaannya tidak menggunakan paku sebaliknya pasak.
Menurut catatan senibinanya dipengaruhi elemen Jawa dan tempatan sebelum datangnya pengaruh Arab. Sistem pengaliran udaranya dikira baik, sama seperti kebanyakan rumah kampung kita dahulu. Dinding kayunya dihiasi ukiran kerawang yang masih utuh walau sudah ratusan tahun usianya.
Al Husein juga dikatakan ada menulis tangan sebuah al quran tetapi rasanya ia tidak lagi simpan di masjid ini. Mungkin di rumah imam kot.
Lokasi Masjid Talo Manoh @ Wadi Al Husein
Masjid ini terletak di Ban Talo Mano, Tambon Lubo Sawo, 25km dari pekan Narathiwat. Untuk ke sana sila ikuti Highway No. 42 dan belok di persimpangan di Ban Bue Ra-ngae.
Ia 220 km dari Padang Besar dan 75km dari Sungai Golok. Jadi kalau masuk ikut border di Kelantan tu 1 jam 15 minit je dah sampai. Dekat je... jangan lupa passport. Mereka ini je boleh guna border pass (pas sempadan).
Masjid Talo Manoh @ Wadi Al Husein
Ban Talo-mano Tambon Lubosawo
Amphoe Bacho
Narathiwat
Thailand
Untuk makluman, orang bukan Islam tidak dibenarkan masuk ke dalam masjid. Kalau teringin juga kena minta kebenaran daripada imam terlebih dahulu.
1 Comments
Power kan orang dulu-dulu punya bangunan. Takyah guna paku pun dan masih teguh berdiri sampai ke hari ni.
ReplyDeleteFeel free to leave your comment below. Thank you.