Sejenak bersama pakar astronomi Indonesia, Dr Bambang Hidayat



Sejenak bersama pakar astronomi Indonesia, Dr Bambang Hidayat | Aku ni sebenarnya tidaklah mengambil tahu sangat tentang bidang aeroangkasa. Cuma, ada sedikit perasaan ingin tahu apabila beberapa kali dalam setahun berpeluang terbang, syok tengok awan. Terfikir apakah yang dilihat oleh pilot di depan sana.


Bertambah ingin tahu bila berlakunya gerhana matahari dan bulan, juga bulan besar. Lawatan ke Balai Cerap di Klana Resort Port Dickson menambah sedikit ilmu di dada. Rasanya kena belajar balik fasal buruj yang kita belajar di sekolah dulu, ingat ingat lupa dah. Kalau anak tanya memang kantoi ni.


Kenangan manis dalam kereta api Bandung-Jakarta
Dalam perjalanan pulang ke Jakarta pada 2015 dahulu, seat aku di sebelah satu sosok tubuh lelaki berusia yang kelihatannya bukan biasa biasa. Dari pakaiannya serta sebuah buku berbahasa Belanda yang dibacanya menyakinkan aku bahawa dia semestinya 'somebody'.

Beliau menegur bila aku asyik mengambil gambar. Pemandangan di luar sana sangat indah. Di sesetengah tempat landasan keretapi di jambatan tinggi memberikan pemandangan luar biasa from the birds' eyes, dengan sawah padi yang menghijau... air terjun... kampung. Ini cerita tahun 2015 lah, pengalaman tahun ini pula ternampak surau dan tandas di Stesen Cikampek yang baru dan nampak juga keluarga yang bersedih ketika mengebumikan jenazah di satu kampung tu.

Berkemeja putih dan seluar biru gelap, ternyata orang di sebelah seorang ahli akademik. Seronok berbual dengannya yang kaya pengalaman. Beliau mengajak untuk ke Palembang/Pontianak (tak ingat dah) pada 9 Mac tahun berikutnya untuk melihat gerhana matahari kerana lokasi tersebut adalah yang terbaik.

Paling aku ingat beliau berkata neneknya yang buta huruf latin tetapi boleh membaca dan  menulis jawi (Arab) menasihatkan agar memilih bidang yang boleh menyumbang ilmu, supaya menjadi manusia yang berguna kepada manusia lain. Datuknya juga seorang yang maju fikirannya berbanding masyarakat desa Kradenan (Purwodadi) di waktu itu. Bayangkan ketika masyarakat masih mempercayai tahyul dan kepercayaan karut-marut ketika penampakan komet pada Disember 1948, kakek (datuk) beliau berbeza pendapat. Fikirannya jauh ke depan. Walaupun dua minggu kemudian tentera Belanda menyerang Yogyakarta, datuk beliau tetap menyatakan "ojo percoyo gugon tuhon (jangan percaya tahyul)" dan belajarlah untuk menerangkan hubungan sebab akibat, sepertimana penampakan komet.

Bapa beliau juga tak membenarkannya berpindah kerja yang lebih dekat dengan rumah (supaya beliau mudah membantu dari segi perbelanjaan). Kata bapanya urusan keluarga dan anak-anak adalah tanggungjawab si bapa dan bukan anak. Hmm... bagusnya kalau semua bapa begini, takdelah stress isteri menanggung 'biawak' sambil keluar belanja membesarkan anak-anak. 

Disebabkan itulah Bapak Dr Bambang Hidayat yang lahir pada 18 September 1934 ini terdorong untuk memilih Fakultas Ilmu Pasti dan Alam Universiti Indonesia (di Bandung) tahun 1953 selepas lulus dari SMA bahagian B di Semarang. Jika masih hidup pasti bapanya, almarhum Soedirgo Dhonomidjojo, kakek dan neneknya berasa sangat bangga dengan pencapaian beliau yang menjadi Pengarah Bosscha Observatoium sehingga 1999. Malahan ketika bersara pada 2004 ketika usianya 70 tahun beliau berstatus Guru Besar Emeritus di Institut Teknologi Bandung. Kalau nak tahu lebih lagi tentang pakar astronomi ini bolehlah google ya. Kalau aku tulis sini karang redundant pula.

Kalau nak berbincang tenang astronomi Indonesia hendak tak hendak nama besar ini pasti akan disebut sekali. Beliau ahli astronomi generasi awal yang sehingga kini masih tetap menyumbangkan ilmunya melalui kajian berterusan, pandangan dan penulisan. Untuk makluman sebuah bintang kecil yang ditemui pada 1977 dinamakan Hidayat (3468-T) oleh Cornelis Johannes van Houten and Ingrid van Houten-Groeneveld. Sepanjang kerjayanya banyak anugerah berprestij yang diterima beliau diatas sumbangan besarnya dalam bidang astronomi.

Ya tuan-tuan dan puan-puan, kalau ada orang mengaku "Dr Phd" pastikan mereka ada journal atau kertas kerja yang boleh dirujuk seperti Dr Bambang ini, ya.


Rumah bagaikan syurga buku
Aku lewat tiba ke rumah dari waktu yang dijanjikan. Allah, malu betullah terlewat... aku tak ambil kira macet kota Bandung waktu call 'driver'. Grab lambat, call Gojek. Aku nampak je Gojek tu terhenti tak bergerak-gerak di belakang Pasar Baru Bandung. Jalan tu menang sempit dan sibuk, aku yang berjalan kaki pun tersangkut juga pagi tu. Dia suruh tunggu tapi lepas tu pergi ke arah Pintu Utara Stasiun Keretapi Bandung. Eh kau dah kenapa pergi sana?? Kemudian dia cancel, hampeh tul. 

Call Grab Bike tapi bila enter address tak dapat exact location tempat tujuan so main agak agak je lah. Dia suruh aku tunjuk jalan...eh, macam taxi driver KL pulak eh, kita pulak kena tunjuk jalan hahahah... manalah aku tahu. Jadi ada sekali kami berhenti bertanya arah. 

"Benar yang ini?"

"Saya rasa betullah ni..." (aku agak je lah hehe..)

Kemudian muncul orang yang hendak diziarahi, seorang lelaki 85 tahun yang berhati-hati turun membuka pagar. Pakaiannya kemas berkemeja putih dengan seluar biru gelap seperti ketika ditemui dalam keretapi dulu. Jumpa kat rumah pun formal Dr Bambang ni.

Image result for dr bambang hidayat
Dr Bambang Hidayat ketika bertugas di Bosscha Observatorium, Bandung.

Macam mana eh perasaan tu?.. hmm... macam terlerai rindu untuk berjumpa saudara padahal baru sekali je berjumpa empat tahun lalu. Sejak berpisah di Jakarta, lelaki ini telah berpesan melalui emel  untuk untuk ke rumahnya sekiranya ke Bandung lagi. Perhubungan kami melalui emel semata kerana beliau sejenis old school, tidak menggunakan handphone. Telefon rumah ada tapi aku tak pernah call.

Makanan yang disediakan untuk tiga orang tetapi seorang lagi, pakar sejarah dari Amerika Syarikat, tak dapat tiket keretapi ke Bandung jadi tak jadi datang. Memang peak season sebab orang pakat sambung cuti selepas Hari Nyepi 7 Mac. Semasa di Malaysia lagi aku dah dok berfikir apa bendalah aku nak borak ni... tang mana nak mencelah? hahahah.... rasa macam semut je bila berada bersama dengan bijak pandai ni.

Jenuh makan lauk-pauk yang banyak tu sebab tak nak membazir. Sangat tertib ya course by course. Lepas makan minum kopi... aku nak tolong kemas cuci pinggan beliau tak bagi. Katanya, nanti saya tiada kerjaan. Rasa lain macam pula kita yang kuat ni dilayan seorang warga emas.

Macam-macamlah kami sembangkan dalam masa dua jam tu. Dari cerita ketidaktepatan waktu aku tu... (oh malu dan bersalahnya sebab beliau seorang yang menjaga masa), tentang persahabatannya dengan ahli astrofizik Malaysia Datuk Dr Mazlan Othman, tentang Buya Hamka yang pernah bersama beliau ke Belgium (my husband suka membaca buku tulisan Hamka). Disebut juga sewaktu konfrontasi Malaysia-Indonesia penumpang diarahkan menutup tingkap kapal terbang ketika berada di ruang udara Malaysia, tentang e-hailing yang beliau tidak gunakan disebabkan tiada handphone. Lagipun menurutnya e-hailing akan menjejaskan teksi konvensional. Apa nak buat, masa takde Grab/Uber suka hati je letak harga tak nak guna meter.

Aku tanya tak kesunyian ke anak cucu semua jauh? Kata Dr Bambang, dia ada banyak kerja yang dibuat setiap hari. Paginya dihabiskan di taman keliling rumah,  masa lain penuh terisi dengan kajian dan penulisan. Beliau turut menulis tentang sosio budaya, merupakan anggota “boards of experts” majalah National Geographic Indonesia dan salah seorang co-founder Bandung Heritage, sebuah organisasi non-profit yang mengambil berat pelestarian lingkungan, arkitektur dan tradisi kota Bandung.

Di taman/kebun. Allahu nyamannya kediaman beliau. 

Sempat jugalah dibawa tour dalam rumahnya. Bilik kerjanya penuh dengan fail dan buku astronomi. Ruang lain penuh dengan buku-buku umum, politik dan biografi. Seronoknyalah dikelilingi buku-buku... heaven! Masa remaja dulu, aku memang suka membaca malahan sehingga sebelum adanya smartphone. Dulu time tengah membaca novel atau majalah, orang yang bercakap dengan aku kena ulang dua kali sebab aku fokus sangat. Mak panggil suruh buat kerja pun lambat nak gerak. Mesti bengkek je hati orang tu hahahha... samalah dengan perasaan aku sekarang bila panggil anak mereka buat dekkkk aje sibuk menghadap handphone memasing.  Karma.

Acah acah baca buku di ruang kerja Dr Bambang. Semua mengenai astronomi je di sini. Akak nampak bijak tak? hahahha...

Menurut Dr Bambang, dalam buku yang dibacanya orang Belanda yang pernah bertugas sewaktu penjajahan dulu masih rindukan tanah Jawa yang mereka gelar Paris van Java. Mereka membayangkan pulau Jawa itu masih seperti dulu dingin dan nyaman 20-23C. Rumah Bapak Bambang ni memang nyaman weh, berbeza sangat dengan suhu Malaysia yang panas yakmat di bulan Mac tu. Tak payah pasang air-cond pun. Merasa jugalah aku masuk ke rumah orang sini.... dah lama teringin nak tengok. 

Koleksi bukunya terdiri daripada yang berbahasa Indonesia, Inggeris dan Belanda. Buku Dutch tu kena order online. Best nya lahai kalau ada rumah macam ni... boleh duduk dari pagi sampai ke malam baca buku. Rumah ada orang kemas, makanan ada orang masak, nak ke mana-mana ada driver tolong hantarkan.  Semoga aku dapat membina sebuah rumah banglo sederhana besar yang ada library begini. Almari buku aku pun dah tak muat, nak beli almari lain pun tak tahu nak letak kat mana.

Sesungguhnya benarlah bahwa jika kita tidak bersilaturrahim dan mengasah otak kita akan cepat mati. Banyak contoh yang boleh kita lihat didepan mata seperti Tan Sri Robert Kuok, Ungku Aziz, Tun Dr Mahathir Mohamed.. to name a few. Saraf otak biarkan berhubung, mulut yang satu jangan banyak membawang. 

Tujuan ke Jakarta-Bandung kali ini hanya untuk melawat Monas, Kawah Putih, shopping dan menziarah Bapak Bambang Hidayat. Kesemuanya tercapai and I'm happy 😍😍



Kita mungkin miskin tetapi kita tak boleh jadi bodoh. Bergaullah dengan orang bijak dan mulia, mudah-mudahan kita mendapat sedikit tempias ilmunya.


Post a Comment

0 Comments