Indonesia | Uniknya Kampung Warna Warni Jodipan!



Uniknya Kampung Warna Warni Jodipan! | Sejak keseluruhan sebuah kampung di Juzcar, Spain, dicat biru sempena penggambaran filem Smurf, ia telah berjaya menarik kedatanagn pelancong dari seluruh dunia. Dari kampung yang sunyi sejauh 113km dari Malaga, kini ia merupakan kampung yang paling terkenal di Spain (Sepanyol) dan secara tidak lansung telah meningkatkan ekonomi penduduk melalui sektor pelancongan.


Juzcar itu terlalu jauh dan memerlukan modal yang besar untuk ke sana. Sebagai alternatif Malang di Indonesia juga memiliki kampung yang seakan sama dan mungkin boleh dikatakan lebih menarik kerana berwarna-warni dari dinding luar hingga ke bumbung rumah. Sedondon warnanya.

Terletak dua jam perjalanan dari Surabaya, Kampung Warna Warni Jodipan yang berada di Jalan Juanda berkedudukan lebih rendah dari jalan raya. Inilah yang menarik kerana dari Jambatan Jalan Gatot Subroto kita boleh melihat keseluruhan kawasan yang kini dihubungkan dengan Kampung Tridi (3D) melalui jambatan kaca merentasi Sungai Brantas. Jambatan sepanjang 21 meter berinspirasikan jambatan Zhangjiajie di China ini dibuka seminggu selepas kepulangan kami ke Malaysia. Tak merasa... 😔 

Nampak tak landasan keretapi di atas jambatan di sana tu?

Bagaimana projek ini bermula?

Kampung yang dahulunya buruk dan dipandang sepi, dijadikan projek praktikal lapan orang mahasiswa Universitas Muhammadiyah Malang yang menggelarkan diri mereka GuysPro, bagi subjek Public Relations II dalam jurusan Komunikasi.

Tujuan utamanya ialah supaya penduduk mementingkan kebersihan dengan tidak lagi membuang sampah ke sungai. Satu idea yang menarik dan mudah kan? Tanpa disangka projek ini mendapat sambutan yang baik daripada penduduk malah disokong oleh pelbagai pihak termasuk pengeluar cat Decofresh, para pelukis tempatan dan Pemerintah Kota Malang. Ia juga menjadikan kampung bertema sebagai destinasi pelancongan yang menarik. Di Malang, selain kampung warna-warni ini ada juga kampung batik dan kampung topeng.

Setelah siap dicat bahagian luaran rumah, penduduk berasa teruja dan sebelum Eidul Fitri tiba mereka mengecat pula ruangan dalam rumah dengan biaya sendiri. Aura positif akan menarik yang positif juga, betul tak? Lukisan tambahan di luar rumah sebahagiannya dilukis oleh anak-anak penduduk yang berbakat, yang selama ini terpendam dan tidak dicungkil keluar. Bakat semulajadi mereka yang sekian lama tersimpan tidak diserlahkan melalui tangan yang berseni. Nampak tak kesan baik yang sambung-menyambung from this humble project? Someone has to start somewhere to get something. 

Hasilnya ia berjaya menarik kedatangan pengunjung dalam dan luar negara untuk melihat sendiri dan bergambar di sini. Ada rumah yang menyediakan spot selfie secara percuma. Suka hati hanglah nak bergambar gaya apa pun di luar rumah mereka.

Kami masuk dari pintu 1 dan keluar di pintu 2. Ada deretan penjual barangan terpakai di sana.

Dari pintu masuk kita kena turun ke bawah menggunakan tangga berwarna-warni ini. Menarik juga kampung ni, macam di Brazil pun ya juga. Saiz rumah comel je.


Lokasi swafoto yang disediakan di luar rumah.



Bagusnya ada satu perpustakaan terbuka untuk kegunaan kanak-kanak di sana. Buku-buku dimasukkan ke dalam peti surat bercorak menarik dengan cat dinding yang menarik juga. Jika pelanggannya kanak-kanak hiasan mestilah terang dengan pelbagai warna barulah ceria.  

Mama? 😂😂😂


Penduduk yang ramah. Sempat kami berbual sementara menunggu keretapi lalu. Di belakang sana ada kedai menjual ais krim dengan pelbagai perisa buah-buahan. Sedap baq hang!


Teruja tengok keretapi lalu lebih tinggi dari kampung. Dalam pada aku dok hala kamera ke pelbagai arah, ada bebudak berkumpul di tebing sungai bawah jambatan ni sambil seorang kawan dia berak hahahh... boleh pula mengadap orang berak sambil berbual aiyooo.... kalau aku mau seminggu tak lalu makan hahaha... 


Gambar pemimpin Indonesia dari yang lama sehingga ke Bapak Jokowi.

Di kampung ini juga ada penduduk yang mengusahakan perniagaan kecil-kecilan seperti membuat kasut dan selipar, menjual ais krim serta makanan. Di lingkungan luarnya ada pasar barangan terpakai dan penjual kasut sukan. Kebetulan anak aku yang masuk team Under9 tu dok komplen but bola dah sempit - sakit kaki kite ma.. - teruslah aku beli. Nak beli gitar kecil juga untuk adiknya tapi si penjual tu buka harga IDR145 ribu rupiah. Mahal giler! Malas aku nak tawar-menawar lagi. Bila tanya kat kedai tepi simpang jalan besar, dia jual 60 ribu rupiah je gitar tu... harga sebelum diskaun. Aku tak tanya dah harga kasut, kang nak marah pulak hahah... dah dah, jom naik van!



Untuk masuk ke kampung ini kita boleh menggunakan mana mana satu daripada tiga pintu dan dikenakan tiket 2,000 rupiah seorang. Kampung Tridi (3D, asalnya Kampung Kesatrian) pula mengenakan tiket 5,000 rupiah untuk kita melihat dan berfoto di dinding berhias lukisan tiga dimensi.

Semenjak perasmiannya pada September 2016, perubahan Kampung Warna Warni Jodipan telah berjaya membuatkan penduduknya merasa sayang dan lebih menghargai penempatan mereka. Persekitaran kampung menjadi bersih, rumah dihias indah. Pendidikan dan usaha berterusan perlu dilakukan untuk mencantikkan lagi sungai Brantas. Manalah tahu ia boleh menjadi seperti Sungai Melaka yang bersih dan maju dengan bisnes Melaka River Cruise, kan?

Post a Comment

0 Comments