Motivasi | Tips Melembutkan Hati Anak



Tips Melembutkan Hati Anak | Mendidik di zaman ini sungguh mencabar. Jika rajin memerhati dan boleh membuat perbandingan dengan 30 tahun lalu anda akan faham.


Jika dahulu di waktu Malaysia masih dikategorikan dunia ketiga, cabaran utama ibu bapa ialah menyediakan sesuap nasi supaya anak tidak berlapar. Bapa berdehem saja dah kecut perut. Rotan, tali pinggang, penyangkut baju antara 'senjata' yang digunakan. Hasilnya ramai anak-anak yang berjaya dan berterima kasih dengan tindakan itu apabila mereka meniti dewasa. Cikgu pun sama naik dengan mak bapak yang garang ni dan kita pula tak berani mengadu domba bimbang bertambah birat di badan. Walaupun tanpa bermesraan dalam whatapps group parents dan guru macam ada chemistry pula bab membantai ni heheh..

Kini ibu bapa menghadapi cabaran yang berlainan. Dengan kehidupan yang lebih senang sekarang, anak-anak lepas bebas bersama kengkawan. Aku percaya bukan ibu bapa tersebut tidak menasihati tetapi dalam transition times dari kanak-kanak ke remaja pengaruh rakan sekeliling sangatlah kuat. Naik berbuih mulut mak ayah menasihat, jika dipukul seperti zaman dahulu mereka lari dari rumah. Masalah ini mungkin datang daripada kita juga. Kita mungkin terlalu keras mendidik atau terlalu berlembut dengan mereka. 

Ada parents yang sangat baik, macam ustaz ustazah mendidik anak tetapi perangai anak seperti syaitonirajim. Ada imam masjid yang memiliki anak bermasalah sosial juga. Di mana silapnya? Sedih dan hampir berputus asa kan?

Bila mengetahui perangai anak seseorang begitu begini ramai yang membuat 'halaqah ketupat'. Tahu tak? Mengumpat. Judgemental tu jangan cakaplah. Janganlah rapat sangat dengan golongan ini dan kumpulan yang selalu bercakap hal negatif. Lama-kelamaan kita mungkin akan berfikiran negatif seperti mereka.

Ada pula yang mencadangkan begitu begini. Nasihat yang baik kita cuba ikut tetapi perlu diingat kita hanya berusaha, mujarab ke tidak hanya Allah yang berkuasa menentukannya. Berdoalah. Yang menasihat pun kena ingat, satu solution bukan boleh terpakai kepada semua orang. Manusia dan kehidupan berkeluarga itu unik. Yang menasihat pun kena ingat juga, mendidik anak lelaki tak sama dengan anak perempuan dia yang seketul dua tu. Tambahan pula jika remaja tersebut tinggal dibandar yang sekular. Anak perempuan bolehlah kita simpan bawah kopek, anak lelaki fitrahnya tak sama.

Kadang-kadang kita dengar parents yang bangga anaknya tidak membawa masalah. Sebenarnya ia bergantung kepada tahap tauhid kita, keterbukaan kita kepada persekitaran dan lain-lain faktor. 

Ada yang kata anaknya baik tetapi sebenarnya anak dia tak solat. Melawan Tuhan setiap hari tu baik ke? Ada yang kata anaknya baik tetapi mereka sebagai ibu bapa tak pernah dapat melihat apa yang ada dalam handphone anak. Setiap apps ada password tu... jangan sembanglah kalau yang itu pun tak jelas. Video seks melambak dalam wechat dan whatapps. Ada yang rasa secure sebab anaknya bersekolah agama atau menyambung pengajian di bidang agama di universiti. Oh please lah, ada je yang buat maksiat. Nak jadi guru agama tetapi dating siap berpegang tangan. Ada yang rasa anaknya baik sangat sebab mendengar kata. Cuba ko lepaskan dari kopek tu dan biar dia berdikari seperti anak orang lain jauh dari keluarga? Entah entah kena culture shock. I've seen all that.

Masih rasa selamatkah kita sebagai ibu bapa? Bimbang kan? Orang dedulu selalu berkata menjaga kerbau sekandang lebih senang daripada menjaga anak dara seorang. Aku selalu tak bersetuju sebab difokuskan kepada anak perempuan sahaja. Anak perempuan disuruh buat itu ini, anak lelaki dibiarkan melingkup dari pagi hingga ke petang. Yang bakal imam keluarga tu jika tak dijaga dengan betul pun boleh merosakkan anak dara orang lain juga. 

Risau beb dengan kemajuan teknologi hari ini. Zaman aku dulu kalau nakkan hiburan kena keluar rumah. Kalau ada duit dapatlah tengok wayang. Kalau takde duit lepak di taman dengan kengkawan tengok orang 'buat wayang' hahhah... Sekarang hiburan masuk ke rumah tanpa kawalan. Kita tak belikan handphone dia usahakan sendiri kumpul duit belanja sekolah dan buat kerja part time. Kita tukar password wifi dia guna data. Bilik dah gelap tapi cahaya bersinar dari dalam selimut. Macam ada bisnes besar tak sudah sudah dengan handphone. Abih camno? 

Setelah kita berusaha dengan tangan dan menasihati, kita serahkan kepada Allah. Yang penting kita berusaha dan berdoa tanpa henti. Yang lain tu bertawakal sahajalah kepada Allah. Mohon Allah turunkan redhaNya diatas redha kita.

Marilah kita mulakan usaha yang nampak kecil ini tetapi mempunyai kesan jangka panjang yang baik. Sama-sama kita cuba ya!

CIUM ANAK

Empat tempat bapa dan ibu kena cium anaknya setiap hari dan lima tempat sentuhan atau digosoknya.

Empat Ciuman & Lima Sentuhan

Mengikut saranan doktor Psikologi terhadap ibubapa, terdapat empat ciuman dan beberapa sentuhan yang harus diamalkan terhadap anak-anak. Ianya hendaklah dilakukan setiapa hari, semenjak lahir setiap hari tanpa had waktu dan umur, selagi dia masih menjadi anak kita.


4 Ciuman

1. Pertama di ubun-ubun, sebagai menunjukkan kebanggaan kita terhadapnya (sambil mendoakan agar si anak jadi anak soleh), insya'Allah.
2. Kedua di dahi, ciuman ini menandakan kita redha terhadapnya sebagai dia anak kita. Rasulullah s.a.w pernah mencium anaknya, Fatimah r.anha di dahi beliau.
3. Ketiga di kedua-dua pipi, iaitu sebagai tanda syauq (perasaan sayang dan rindu) kita terhadap si anak.
4. Keempat di tangan anak, tanda mawaddah wa hubb (kasih sayang) sebagaimana Rasulullah s.a.w juga selalu mencium tangan anakandanya Fatimah r.a.


Manakala 5 Sentuhan pula ialah:

1. Mengosok belakang kepala anak, sebagai tanda kasihan belas dan anak akan merasai dikasihani dan terlindung.
2. Menggosok atas kepala atau ubun-ubun, ini untuk menunjukkan kebanggaan kita terhadapnya.
3. Menggosok atas dahi anak, sebagai tanda syauq (perasaan sayang dan rindu) kita terhadap anak.
4. Keempat kedua pipi, juga tanda mawaddah wa hubb (kasih sayang)
5. Memgang kedua tangannya, untuk menenangkan anak ketika nampak perasaannya kacau atau keliru.

Tambahan: Gosok di dada Ketika perlu.

Bila nampak dia menunjukan kecenderungan membuat sesuatu yang tidak baik atau sedang marah, gosoklah dadanya untuk menenangkannya.

Wallahu a'lam.



#UAM, 24 Julai 2016/19 Syawwal 1437H.


Post a Comment

0 Comments