Mengenali Sultan Perak Di Galeri Sultan Azlan Shah



Mengenali Sultan Perak Di Galeri Sultan Azlan Shah | Dalam program Perak World of Wonders tempohari, salah satu acara ialah menelusuri sejarah kesultanan Perak. Sebagai rakyat Malaysia, mengetahui serba sedikit sejarah negara adalah wajib. Jangan nanti orang asing yang bercerita kepada kita tentang sejarah negara sendiri.

Galeri ini mempamerkan koleksi barangan peribadi dan hadiah Almarhum Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah serta khazanah-khazanah pemerintahan Kesultanan Perak. Ia turut memberikan maklumat mengenai sejarah dan susur-galur Kesultanan Perak melalui gambar dan teks. Di bangunan yang satu lagi dipamerkan kenderaan peribadi dan rasmi yang pernah digunakan oleh almarhum Sultan Perak, juga hadiah yang baginda terima daripada ketua negara di seluruh dunia. 



Tiles kotak marroon-beige di atas merupakan tiles asal yang diimport dari Itali.



Dari website Majlis Perbandaran Kuala Kangsar) dinyatakan  Galeri Sultan Azlan Shah secara rasmi dibuka oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak pada tarikh 9 Disember 2003. Awalnya istana yang disebut "Istana Hulu" atau disebut Istana Kota terletak di Bukit Chandan, merupakan istana konkrit yang pertama dibina di Negeri Perak. Istana ini kepunyaan Almarhum Sultan Idris Murshidul Azam Shah, Sultan Perak ke 28 (1887-1916). Ia mula dibina pada tahun 1889 dan siap pada tahun 1903. Pada tahun 1916, istana ini diduduki oleh anakanda baginda, Almarhum Sultan Abdul Jalil. Dua tahun kemudian, istana ini telah diduduki pula oleh putera baginda iaitu Sultan Yussuff Izudin Shah, Sultan Perak ke 32 (1948-1963).

Dalam tahun 1954, Istana Hulu ini telah dimiliki oleh Kementerian Pelajaran, dan dalam tahun 1957, bangunan ini di gunakan sebagai sekolah yang dikenali dengan nama Sekolah Kebangsaan Istana Kota. Pada tahun 1970, Sekolah Kebangsaan Istana Kota ditukar dengan nama Sekolah Raja Perempuan Muzwin, iaitu mengambil sempena nama DYMM Raja Perempuan Perak iaitu Raja Muzwin Binti Raja Ariff. Pada tahun 1996, Sekolah Raja Perempuan Muzwin telah mendapat bangunan barunya yang berhampiran dengan kawasan ini. Bangunan istana yang ditinggalkan ini akhirnya telah dicadangkan untuk di jadikan Galeri Sultan Azlan Shah.

Atap Galeri Sultan Azlan Shah unik berbentuk 'bumbung limas' dari nyeri, struktur bumbung begitu menarik seperti piramid, manakala bentuk keseluruhan adalah campuran estetika ciri tempatan dan kolonial. Pada peringkat awal pembinaan, bahan bangunan yang berpunca dari luar negeri - genting dari Perancis, sementara dinding dan lantai ubin yang berpunca dari Itali - untuk melengkapkan batu tempatan dan 'Cengal' dan 'Meranti' kayu yang digunakan untuk atap rangka batang dan balok. Dedulu semuanya kita import. Bertuahnya orang dedulu semua barang made in negeri omputeh.



 Songkok baldu hitam yang pernah dipakai oleh Almarhum Sultan Abdul Jalil Shah, sultan yang memerintah Perak 1916-1918

Galeri ini memaparkan sejarah dan tonggak kehidupan termasyhur DYMM Sultan Perak Darul Ridzuan. Elok peruntukkan sekurang-kurangnya dua jam untuk melihat, membaca dan memahami bahan pameran di sini. Tak enjoy kalau terkejar-kejar. Bukan senang nak melihat khazanah istana.

Kesultanan Perak ni ada sedikit persamaan dengan sistem beraja di Negeri Sembilan. Pengganti sultan tidak semestinya dilantik dari kalangan anak sultan tersebut.

Menarik tau jika ada tour guide yang bercerita tentang satu-satu artifak/bahan pameran. Tak semua boleh diceritakan di sini, off record. Di sinilah baru ku tahu nama lipatan tanjak "ayam patah kepak". Kesian ayam.


Keris Taming Sari dan Cura Si Manjakini kini di simpan di istana Di Raja Perak. Ia di jaga oleh orang besar Perak. Sekiranya ia dipamerkan di galeri ini, keris tersebut akan dibawa pulang ke istana  di waktu rehat dan dibawa kembali ke galeri selepas itu. Bila tamat waktu lawatan keris akan disimpan kembali di istana. Hanya "Orang Besar" tersebut sahaja yang boleh membawanya.

Cura Si Manjakini  ialah sebilah pedang yang disebut di dalam teks Sejarah Melayu, kepunyaan Maharaja Sang Sapurba iaitu nenek moyang legenda Raja-Raja Melayu. Selama ratusan tahun, pedang ini menjadi simbol kedaulatan dan kekuasaan dalam budaya Melayu. Ia diwariskan kepada Sang Nila Utama iaitu pengasas Kerajaan Singapura Lama (Temasek), kemudiannya kepada Parameswara pemerintah pertama Kesultanan Melaka, dan seterusnya kepada Muzaffar Syah I, Sultan Perak pertama. Pedang tersebut kini merupakan sebahagian daripada alat kebesaran Kesultanan Perak.

 Koleksi keris dan pedang.

 Tiara turun temurun yang hanya dipakai sewaktu majlis pertabalan.

Haa.. tengoklah sebahagian koleksi jam baginda. Casio takde ke? (eh? haha...). Almarhum Sultan Azlan jika hendak memakai mana-mana jam yang disimpan di sini akan mematuhi prosedur yang ditetapkan seperti merekodkan nama dan butiran lain. Jadi kita yang entah sapa sapa ni belajarlah mematuhi peraturan yang ditetapkan terutamanya jika menggunakan harta orang lain. Dah pinjam PTPTN pepandailah bayar balik. Tetiba. Eh uols, kalau rasa nak sewa jam pun boleh rasanya tapi tak tahulah berapa pihak galeri caj. Jadi lepas ni jika di majlis grand ada orang show off dengan jam dia mungkin aku akan berfikir "sewa jam Sultan lettewww..." hahaha...

 Sebahagian jam milik Sultan Azlan Shah. Ada yang dihadiahkan oleh anakanda baginda. Jangan cari brand Casio, Guess atau Swatch eh.


Memandangkan almarhum Sultan Azlan merupakan raja yang aku hormati serta kagumi kerana keilmuan dan keperibadiannya, tentulah banyak perkara yang menarik perhatian. Keluarga baginda juga jarang berada di dalam radar gosip tempatan. Memang sepatutnya begitulah kan. Lagi satu, nama-nama anak baginda pun sedap belaka, Nazrin.. Ashman.. Elina, Ezureen.. termasuklah cucu-cucu baginda. Takdelah recycle nama ayah atuk uwan onyang sendiri macam Putera Harry dari Wales (Harry Charles Albert David). Contoh.

Baginda sangat meminati sukan hoki dan mencintai bidang perundangan. Di zamannya para hakim dihormati. Keputusan mereka tidak disanggah. Sekarang, ko rasa? Baginda pernah menjatuhkan hukuman kepada 'seseorang' yang setarafnya namun diampunkan oleh 'seseorang' yang lain. Kalau nak tahu silalah google. Kalau tak jumpa di dot com carilah di dot vn ke dot au ke...  Alah kalau tanya orang tua-tua mereka pun tahu cerita tu walaupun dedulu mana ada internet. Dari utara ke selatan orang tahu. Mulut is powerful.


 Tulisan tangan baginda di dalam buku perundangan.


 Semoga tenang di 'sana'.

Banyak sekali bahan pameran hingga membawa ke tingkat atas. Di tingkat satu kita akan dipertontonkan pelamin nikah dan video perkahwinan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfullah dan Permaisuri Perak, Tuanku Zara (ketika itu digelar Raja Nazrin Shah dan Cik Zara Salim Davidson). Berita perkahwinan mereka disambut dengan gembira dan penuh kesyukuran oleh seluruh rakyat Perak. Ramai yang frust uolsss... Raja Nazrin berkahwin ketika berumur 50 tahun manakala pasangannya 35, so... korang yang belum berjodoh tu janganlah gundah gulana sangat, jodoh korang dok pakai diaper lagi tu.

Sultan Perak, KDYMM Sultan Dr Nazrin bersama permaisuri, yang ditabalkan pada tahun 2014.

Selepas melihat keseluruhan bahan pameran, gambar dan hadiah memahal tu tertanya-tanya juga aku, raja-raja ni gi melancong beli fridge magnet tak? eh.

Galeri Sultan Azlan Shah
Bukit Chandan, 33000 Kuala Kangsar
Perak Darul Ridzuan
Tel: 05-7775362 atau Fax: 05-7774957
Email : gsas@perak.gov.my
Website : http://www.muziumperak.gov.my atau http://gsas.perak.gov.my
Dibuka Setiap Hari : 9.30 pagi – 5.00 petang
Jumaat : 9.30 pagi – 12.15 tengahari dan 2.45 petang – 5.00 petang
Bayaran Masuk:
Dewasa
: RM4.00 / Warga Emas : RM2.00
Pelajar IPTA dan Sekolah Menengah : RM2.00 / Sekolah Rendah : RM1.00


Bagaimana Hendak Ke Galeri Sultan Azlan Shah?
 
Jika dari Lebuhraya PLUS, keluar di susur ke Kuala Kangsar dan ambil kanan pada simpang pertama untuk terus menuju ke bulatan di tengah-tengah Bandar Kuala Kangsar. Galeri Sultan Azlan Shah di sebelah kanan sebelum sampai ke Masjid Ubudiah. Jangan tanya dari arah lain, aku ngak ngerti.


Peringatan: **TIDAK DIBENARKAN mengambil gambar di dalam Galeri Sultan Azlan Shah**


Post a Comment

2 Comments

  1. selalu kalau pegi tempat macam nih..

    memang berjam habiskan masa baca sejarah atau caption kat setiap seksyen.

    kalau bawa bini..mesti dia cepat bosan.

    bawa kengkawan..sure tak sampai 10 minit suruh balik.

    hehe..

    ReplyDelete
  2. En Titan, kalau bawa wife bekalkan dia duit dan tinggalkan di shopping mall. InsyaAllah dia tak bosan ;D

    ReplyDelete

Feel free to leave your comment below. Thank you.