A very short trip to Singapore | Istana Kampong Gelam





A very short trip to Singapore | Istana Kampong Gelam | Perjalanan ke Singapura ini sangat singkat. Sudahlah tak sampai 12 jam masa untuk mengeksplorasi terperangkap dalam hujan lebat pula.

 
Semasa orang lelaki sedang solat Jumaat di Sultan Mosque aku pulak sibuk di sini ambil gambar, posing sensorang hahha.. gigih ke hulu ke hilir dengan tripod. Kalau nak lihat gambar Masjid Sultan yang aku ambil boleh lihat di sini.
 
Kampung Gelam ialah bandar pelabuhan bersejarah serta titik tumpuan bagi masyarakat Melayu di Singapura. Ia juga menjadi tempat persinggahan utama buat para jemaah haji dari Nusantara.
 
Istana Kampong Gelam pula yang pernah menjadi tempat bersemayam kesultanan Singapura-Johor telah dinaiktaraf dan dijadikan Taman Warisan Melayu (Malay Heritage Centre). Ingat tak dulu di akhbar-akhbar kecoh tentang hal ni? Dah jadi masyarakat minoriti begitulah adatnya... tapi ada juga kebaikannya. Daripada rupa buruk bekas istana dengan dinding dan bumbung reput kerajaan Singapura telah mengambil tindakan merenovasi dan menjadikannya tarikan pelancongan, walaupun tanah yang mahal di tengah kota itu boleh sahaja dinaikkan bangunan pencakar langit.
 
Istana yang asal berbentuk rumah panggung didirikan pada tahun 1819 untuk Sultan Hussein. Pada tahun 1840, anakanda baginda Sultan Ali, memerintahkan supaya istana tersebut diubahsuai menjadi gaya Neo-Palladian seperti yang dilihat hari ini. Istana ini kekal menjadi kediaman kerabat diraja sehingga tahun 1999 tatkala Kampong Gelam dibangunkan semula sebagai suatu kawasan pemuliharaan.
 
Pada tahun 2005 istana ini diberi nafas baru sebagai Taman Warisan Melayu yang kemudian dinaiktaraf menjadikannya berkeluasan 2,900 meter persegi dengan kos SGD3 juta dan dibuka semula pada tahun 2012. TWM menyediakan pendedahan budaya serta peluang menimba ilmu bagi para pengunjung tidak kira umur, yang berminat kepada warisan kebudayaan dan sejarah masyarakat Melayu.






Bekas istana Kampong Gelam yang menjadi salah satu tarikan pelancongan di Singapura mempamerkan 337 artifak berharga sejarah Singapura, yang dahulunya dipanggil Temasek. "Temasek" nama klasik yang masih lagi digunakan sebagai nama syarikat milik kerajaan republik Singapura.
 
Antara khazanah dan artifak yang dipamer ialah selaras senapang jenis Mark III yang diguna oleh Regimen Askar Melayu pimpinan Allahyarham Leftenan Adnan semasa mempertahankan Singapura daripada serangan tentera Jepun. Senapang buatan British itu  ditemui tidak jauh dari kawasan Istana pada tahun 2003. Turut dipamerkan ialah sebuah piano yang diguna oleh tokoh muzik terkenal Allahyarham Zubir Said yang dikatakan diguna oleh beliau untuk mengarang lagu kebangsaan Singapura "Majulah Singapura" dan bintang serta darjah kebesaran mantan presiden pertama Singapura, Allahyarham Yusof Ishak. Selain daripada itu terdapat juga wang syiling dari abad ke-18 hingga ke-20, piring tembikar yang diimport, pending diraja dan gambar-gambar lama penuh nostalgia.
 
Pelajar sekolah bermain 'timbang' seakan-akan takraw, sejenis alat mainan yang berupa bulu ayam berwarna-warni yang dilekatkan pada aluminium. Di belakang ialah Malay Heritage Centre @ Istana Kampong Gelam.


Restoran berhadapan MHC
 
Orang lama mungkin akan merasa sayu apabila melawat MHC. Sifat tamak kepada harta dan kuasa dan juga mementingkan diri sendiri telah memecah belahkan manusia. Menurut ceritanya, Stamford Raffles yang berhajat untuk menguasai Singapura menyokong pertabalan Sultan Singapura maka terbinalah Istana Kampong (Tanjong) Gelam dan bermula era penguasaan British di Malaya. Namun begitu pertabalan Sultan Singapura tidak diiktiraf kerajaan Johor. Terjadi juga perebutan kuasa ketika itu.

Kini kehebatan dan kedaulatan kesultanan Melayu hanya tinggal sejarah sahaja di Singapura. Rasanya masih ramai orang Melayu Malaysia tidak ingin melihat istana raja-raja Melayu yang menjadi lambang kebesaran dan kedaulatan  nusa dan bangsa, menjadi hiasan muzium di mana-mana.

Mungkin titah ucapan almarhum Sultan Azlan Shah ini tiada kaitan dengan apa yang berlaku di Singapura namun ada baiknya diteladani terutama ketika manusia semakin bijak menggunakan akalnya hasil perkembangan ilmu dan limpahan maklumat.

 "Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis atau pengawal istana digaji untuk melindungi dan menjaga tahta, namun tiada satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata. Walau seberapa banyak peluru bedil atau peluru meriam sekali pun digunakan, namun tidak satu pun dapat menyekat kemarahan aspirasi rakyat. Jika kehendak rakyat jelata dimakbulkan Allah, maka (berlakulah) perpindahan takhta dari istana ke muzium seni dan budaya" - Petikan titah ucapan Sultan Azlan Shah ketika dianugerahkan Doktor Kehormat Undang-undang, di Majlis Konvokesyen, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada 29 Jun 1980.
 
 
Waktu Operasi
Selasa - Ahad
10-00 pagi - 6.00 petang
 
Waktu masuk terakhir
5.30 petang
 
 
MASUK PERCUMA
Untuk warganegara Singapura dan penduduk tetap
 
Sila Hubungi
+65 6391 0450
 

Pemandangan lain di Singapura.


Bila ke Singapura mesti cuba murtabaknya. Intinya sedap dan mewah dengan daging kambing/lembu.


Pernah jumpa ?

Post a Comment

0 Comments