My Supermak on a working holiday



Assalamualaikum.

Hari tu mak kita nak pergi kerja jauh. Dia tinggalkan kita dengan ayah, abang-abang dan kakak. Mak pandang dan cium kita banyak kali. Mak kita tinggalkan sehelai t-shirt dia yang belum dibasuh. Kata mak, mata bapa nabi Yusuf yang buta akibat menangis rindukan baginda celik semula selepas mencium baju nabi Yusuf. Jadi mak kita harap kalau kita rindu dekat mak kita, kita ciumlah baju mak kita yang dah melekat peluh tu. Baju mak kita tak busuk, dia selalu spray perfume sikit selepas mandi.

Selepas siap packing baju mak pesan kat semua orang satu persatu :

Kepada abang Azmin
Bangteh nanti duduk kat rumah umi sekejap ye...lepas tukar baju dan makan buat homework, lepas tu tidur.

Kepada abang Ali
Ko jangan tak mengaji pulak

Kepada abang Adam
Ko belajar....minggu depan nak exam UPKK. Jangan buli adik!

Kepada kakak
Jangan buang masa, PMR sekali aje

Ayah kita pun kena...
Bang, nanti masukkan diapers 4 keping, baju 3 pasang, napkin baby sehelai, towel, bedak+sikat+minyak angin+losyen. Bagi bubur frozen satu bekas setiap hari, biar dia makan bubur waktu tengahari, petang baru makan Cerelac. Hantar pukul 7.30 pagi ambil pukul 5.00-5.30 petang. Tak payah mandikanlah pepagi tu takut tak sempat.

Hari Selasa kakak tuition kat Teacher A 8.00 - 9.30 malam, Rabu kat Teacher B 8.15-10.15, Jumaat kat Teacher A 8.00-9.30 malam. Ali dan Adam ada swimming hari Rabu dan Jumaat tapi kalau tak sempat tak payah pergilah. Ali tak mengaji hari Jumaat.

Kalau Arif menangis cuba tunjukkan baju saya tu kat dia then bagi dia pegang.

Banyaknya mak kita pesan kat ayah....entah ingat entahkan tidak :-))))

Mak kita call tauke van pulak
Syam, akak nak tumpangkan anak-anak balik lepas KAFA untuk 3 hari

Mak kita call driver van pula sebab takut tauke van lupa nak pesan kat driver dia
Devi, nanti anak saya tumpang 3 hari tau. Nanti saya bayar sekali dengan bil bulan Oktober minggu depan

Tak habis lagi...mak kita call uwan pulak
Mak, kak long nak poi Cherating ni...omak jangan ambik budak 2 orang tu...minggu dopan dio nak pekso (mak kata kena pesan sebab uwan dan atuk suka bawa abang-abang kita balik kampung).

Mak kita buatkan kek coklat untuk abang dan kakak makan petang sebelum dinner.

hmmmm itulah mak kita. Masa kat Cherating dia call lagi tanya abang kita, ko dah solat ke belum? dah makan? ko pergi mengaji tak? ko belajar tak? ko gosok gigi tak? bla bla... badan dia aje jauh...suara dia dekat aje. Nasib baik tak memotir dalam telefon tu. Macam remote control pulak mak kita ni.

Tapi dulukan kita pernah nampak ayah kita packing baju. Lepas makan, mak kita hantar ke stesen bas, lepas tu dia cakap...oktengsbai. Senang aje ayah kita.


Post a Comment

0 Comments