Negeri Sembilan | Berbelas Lokasi Menarik Di Port Dickson Untuk Dilawati



Negeri Sembilan | Berbelas Lokasi Menarik Di Port Dickson Untuk Dilawati | Port Dickson ialah sebuah pantai peranginan tidak jauh dari Kuala Lumpur. Hanya sejam setengah dari Kuala Lumpur dan sekitar 30km dari Seremban menjadikannya lokasi istirehat popular di hujung minggu. Port Dickson juga tidak jauh dari Melaka.

Port Dickson terkenal kerana adanya pantai yang panjang dan indah dari Janakuasa Elektrik Tuanku Jaafar hingga ke Pasir Panjang. Pantainya landai, bersih, pasir putih halus dan dilengkapi dengan kedai makanan dan kemudahan infrastruktur yang baik. Teluk Kemang menjadi pantai popular untuk berkelah dan mandi-manda. Aku tak berapa suka ke sini sebab ramai sangat pengunjung, lomeh den.


Owh jangan tak tahu, dari Port Dickson ke Tangjung Rupat, Indonesia, hanya 35km sahaja.
 Image result for port dickson
"Hibiscus", resort baru yang tengah hot sekarang.

SEJARAH PORT DICKSON

Pada tahun 1820an daerah tepi laut yang dipanggil Tanjung dan Arang ini maju dengan berniagaan arang dan perlombongan bijih besi di Lukut. Pegawai tinggi British yang mengetuai Negeri-Negeri Selat merasakan ia berpotensi untuk dijadikan pelabuhan dagang dan tempat rehat para pegawai British. Dari nama Sir John Frederick Dickson inilah Port Dickson mendapat nama yang kekal hingga ke hari ini.

Pada September 2009, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat sesuai dengan banyaknya kem tentera di sana iaitu di Sebatang Karah, Segenting, Si Rusa dan Sunggala. Semenjak 1933 lagi Port Dickson telah dipilih sebagai penempatan kem Angkatan Tentera Melayu dan Maktab Tentera Persekutuan yang dinamakan Kem Si Rusa. 5,000 undi pos dari Port Dickson ni je weh.

Mukim-mukim di port dickson merangkumi Si Rusa, Telok Kemang, Pasir Panjang dan Linggi.


CERITA PORT DICKSON KAMI
Dulu kan, bila abah cakap "nak poi Pedeksen" takde lain dalam fikiran selain mandi laut. Port Dickson = mandi laut sampai rentung hahaha... what a nice thing to remember ;D

Bila dah ada keluarga sendiri hanya beberapa kali kami piknik di Port Dickson. Itu pun kerana menghadiri kenduri kahwin di sana. Alang-alang dah sampai PD teruslah kita mandi laut. Sebenarnya aku suka pergi Port Dickson tapi bukan untuk daytrip, lebih senang bermalam di sana menikmati keindahan alam- desiran angin dan deburan ombak di pantai. Nak breakfast di hotel tak cukup sebab voucher untuk 2/4 orang jer (kita ramai wak, yang berumur lapan tahun pun bantai adult meal) jadi selalunya kami akan minum pagi di luar. Makan di gerai tepi jalan je yang orang kata sedap.


APA YANG MENARIK SANGAT DI PORT DICKSON?
Banyakkkk... Aku masukkan kawasan Lukut sekali sebab berdekatan. Banyak yang nak diceritakan tentang Pusat Pelancongan Pendidikan Hutan Simpan Sungai Menyala (eco-edutourism). Pada aku tempat ini sangat menarik dan berpotensi untuk menarik ribuan pelancong, tak adil untuk ditulis ala kadar sahaja. I'll do another blogpost for this place. I really like it! Kalau 'duit yang dijumpai dalam kabinet tu' aku yang punya (secara sah) insyaAllah aku akan buat resort copycat Pusat ini. Sabaq na... nanti cerita lagi.

1) Pantai-Pantainya Yang Indah
Perasan tak tiada pantai lain yang seindah Port Dickson di pantai barat semenanjung Malaysia? Janganlah samakan PD dengan pantai Terengganu dan Sabah di Laut China Selatan tu.. memanglah tak sama. Itu anugerah Allah yang tidak terkata cantiknya. Kena compare apple to apple lah.

Image result for port dickson


Pelbagai sukan air boleh dibuat di sini. Hotel juga banyak tetapi bilik yang berharga dibawah RM150 selalu cepat terjual. Bukan sahaja orang Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor sering ke sini, pelancong dari Singapura pun berduyun-duyun datang. Jadi tempahlah awal-awal di sini ya. Klik di Agoda kat atas/kanan nun pun boleh.

Selain pantai Teluk Kemang yang popular tu, ada lagi pantai lain yang cantik dan iaitu:

Pantai Tanjung Gemuk
Pantai Bagan Pinang
Pantai Cahaya Negeri
Pantai Saujana
Pantai Purnama
Pantai Tanjung Biru (Blue Lagoon)
Pantai Cermin

Di Port Dickson pun boleh buat aktiviti menyelam (diving) di waktu yang sesuai. Jangan tak percaya, ai serius ni.


2) Pusat Pelancongan Pendidikan Hutan Simpan Sungai Menyala
Tempat ni aku baru tahu dan sangat menarik sebagai tempat seminar/kursus. Bangunan kayu lengkap dengan bilik seminar, perpustakaan dan penginapan berada di tengah hutan simpan Sungai Menyala. Boleh buat aktiviti trekking di sini. Nak menginap bersama keluarga pun boleh, sewa je dorm atau bilik, cuma makan kena beli di luar. Untuk yang datang secara berkumpulan perkhidmatan katering disediakan. Ish.. banyak lagi yang nak ditulis ni. Nak camping pun boleh.




Puas aku memikir macam manalah pegawai hutan ini memasang tali hingga 40 meter ke atas pokok. Nanti ai cerita lagi eh.

Kita di DALAM pokok meranti.

Pokok jelutong yang berdiameter 200cm bermakna usianya 200 tahun.

Waktu operasi : Isnin - Ahad / 8 pagi - 5 petang

Pejabat Hutan Daerah Negeri Sembilan Barat
Tingkat 2, Kompleks Pentadbiran Daerah Seremban
Persiaran S2 A2
70300 Seremban
Negeri Sembilan.
Tel : 06-6014000
Faks : 06-6014004


3) Pusat Ikan Hiasan

PIH ini sebenarkan adalah pusat kajian dan bakal dijadikan pusat rujukan dalam industri ikan hiasan. Dengan adanya pameran ikan hiasan di sini ia telah menjadi lokasi agro-tourism yang menarik.

Antara aktiviti yang dilakukan di PIH Port Dickson:

Kultur & pembiakan kuda laut.
Kultur & pembiakan karang
Kultur & pembiakan ikan Inggu (Clown fish)
Program inkubator

Karang yang diternak di sini cantik dan pantas membesar kerana diberikan makanan dan vitamin. Bagusnya di PIH ini kita diberikan peluang untuk memegang kuda laut dan anak penyu. Susah nak dapat peluang macam tu dik. Jangan ekau cokik pulak kudo laut tu. Kami juga dipertontonkan dengan video kuda laut jantan beranak. Sekali beranak sehingga 1800 ekor tetapi hanya sekitar 180 sahaja yang akan hidup. Banyak nau. Carilah di youtube kalau nak tengok.

Buat masa ini entrance PERCUMA. Pergilah sekarang, bila dah upgrade nanti pasti kena bayar sikit untuk menampung kos. Tapi apa salahnya kan, nak ilmu kenalah berkorban ringgit di poket.



4) Balai Cerap Teluk Kemang (Baitul Hilal)
Teluk Kemang ialah satu satu tempat untuk melihat anak bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah sejak tahun 1930an lagi menjadikannya balai cerap yang paling banyak merekodkan penampakan anak bulan di Malaysia . Ia menjadi satu-satunya balai cerap yang sering dikunjungi oleh peminat ilmu astronomi dan pengkaji ilmu falak dalam dan luar negara.

Terdapat lapan balai cerap di Malaysia tetapi hanya Balai Cerap Teluk Kemang yang dibuka kepada umum setiap hari sebelum diikuti oleh Pusat Sains Negara (dibuka pada waktu-waktu tertentu). Aku sangat bersetuju dengan pihak MAINS dan lain-lain yang berpandangan jauh, dah beli teleskop memahal sampai RM1.8 juta lebih baik biarkan minat rakyat berkembang dalam bidang ini. Siapa tahu suatu hari nanti lebih ramai pakar astronomi dilahirkan di Malaysia, kan?

Balai cerap di Malaysia mencerap bulan setiap bulan. Jadi ia menghasilkan data yang lebih lengkap berbanding tempat lain.

Jika anda menginap di Klana Resort Port Dickson, anda boleh naik ke Balai Cerap secara percuma tetapi jika untuk melihat bulan/matahari semata-mata anda perlu membayar yuran RM25 seorang. Still cheap worrr... dapat ilmu lagi. En Muzamir sebagai pegawai bertugas akan menjawab apa sahaja soalan kita mengenai dunia astronomi ini.

Kekangannya ialah, jika hari hujan kubah berdiameter 7 meter dan boleh berpusing itu tidak akan dibuka. Elok juga jika datang siang, boleh mencerap matahari juga. Melihatkan gas panas yang menyala-nyala tu sangat mengerikan, seolah-olah api neraka.
Teleskop 5000mm. Kalau ada teleskop ni kat rumah boleh shoot zebra/gajah di Afrika tu dari dalam bilik je kot hehe..



 5) Memancing Udang dan Ikan di Sungai Timun


Sesuai untuk orang yang penyabar hehe... sabarrrr je duduk diam atas bot, tak dayo den hahaha...

Sungai Timun dan Sungai Linggi kaya dengan ikan dan udang. Kelmarin pun Jabatan Perikanan telah melepaskan berpuluh ribu anak ikan lampam dan udang ke dalam Sungai Timun untuk menjaga ekosistem sambil membantu penduduk tempatan menambah pendapatan.

Demand untuk udang galah mengatasi penawaran di kampung ini makanya harga udang pun melambung sehingga RM90 sekilo. Kalau nak makan udang kena tempah dahulu.

Satu bot memancing boleh disewa di Pengakalan Nelayan Sungai Timun dengan kadar RM250 selama lapan jam. Pancing dan umpan bawalah sendiri ya. Sila hubungi Encik Arifin bin Saleh di nombor 011-19254269 untuk tempahan bot/pertanyaan.


6) Melihat Kelip-Kelip Di Sungai Timun
Bagi yang tak suka memancing boleh menyelusuri Sungai Timun untuk melihat kelip-kelip. Walaupun tidaklah sebanyak di Kuala Selangor dan Cherating tu tetapi at least ada. Bolehlah bawa anak-anak nanti. Akan datang pokok berembang akan ditanam dengan lebih banyak supaya lebih banyak kelip-kelip datang dan membiak di sini.


7) Melihat Bangau Di Sungai Linggi
Sungai Timun dan Sungai Linggi bercantum di satu tempat. Di waktu petang boleh dilihat banyak bangau terbang pulang ke sarang. Diantara bulan Ogos dan November kira-kira 300 ekor bangau boleh dilihat dalam sehari.


8) Melihat Matahari Terbenam Di Tanjung Agas
Alang-alang dah memancing tu kan, lajaklah terus ke Tanjung Agas melihat matahari terbenam. Cantik habaq hang! Aku ada upload video di instagram @ruggedmom . Cuba tengok di sana.

Di Tanjung Agas tu ada jambatan yang menghubungkan Negeri Sembilan dan Melaka. Uniknya di Sungai Timun ni kampung berdekatan tetapi dari dua negeri bersebelahan, seberang sini Rembau dan di seberang sana Alor Gajah.

Menikmati keindahan matahari terbenam.

9) Muzium Tentera Darat
Aku dah pernah ceritakan di sini dahulu, jemput baca eh. Popular muzium ni.

Meriam yang masih baik kondisinya di Muzium Tentera Darat.

10) PD Ostrich & Pet Show Farm

Walaupun aktor utamanya ialah burung unta (ostrich), PD Ostrich Show Farm memiliki banyak binatang ladang lain untuk menjadikan lawatan anda sesuatu yang menyeronokkan. Diantara penduduk tetap ladang ini ialah anak kuda, keldai, kambing, beberapa jenis arnab, anjing dan berbagai lagi.

Ladang ini sering dikunjungi oleh rombongan sekolah. Mereka juga mengadakan pertunjukan setiap hujung minggu di Hotel Thistle, Port Dickson.

PD Ostrich Show Farm
Lot 1419, Jalan Kemang 13,
Batu 9 Jalan Pantai Teluk Kemang
Port Dickson
Phone : 06-6627496, 018-2078682 (Mobile)
Fax: 06-6625919
Email : ostrich@9wondersofpd.com


11) Hutan Rekreasi Tanjung Tuan
Satu lagi hutan simpan yang menarik kerana terdapat Rumah Api Tanjung Tuan di atasnya. Jemput baca pengalaman aku di sini dahulu.

Hutan ini sebenarnya adalah di bawah pentadbiran Melaka but its okay... pi mandi laut, makan dan stay di Negeri Sembilan (Port Dickson) tapi exercise panjat bukit di Melaka tu. Kami ada Bukit Batu Putih tapi aku belum panjat lagi. Nak cerita pun tak reti.


12) Kampung Orang Asli Bukit Kepong, Pasir Panjang
Ianya sebuah perkampungan yang cantik dan moden tetapi masih mengamalkan kehidupan tradisional. Jemput baca di sini.



13) Muzium Lukut
Muzium Lukut

Ia dibina sebagai satu tanggungjawab menyebarkan maklumat sejarah dan budaya di Negeri Sembilan untuk ditatapi oleh masyarakat tempatan, para pelancong luar negara serta para pelajar dan penyelidik sejarah. Muzium ini memaparkan sejarah Lukut bermula daripada awal kurun ke-19 Masihi sehinggalah Lukut dimasukkan ke dalam daerah Sungai Ujung (Negeri Sembilan) pada tahun 1880. (rujukan: http://www.jmm.gov.my/ms/muzium/muzium-lukut)

Sesiapa yang meminati sejarah elok datang ke sini.

Muzium Lukut
Lot 730, Kota Lukut
71010 Port Dickson
Negeri Sembilan Darul Khusus.
Tel: 06-651 2954
Fax: 06-651 5270
Email: pr.ml@jmm.gov.my


14) Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas
Sebuah lagi tempat bersejarah di Negeri Sembilan. Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas merupakan tempat perkuburan misteri yang mengunakan batu megalit yang berbentuk pedang dan senduk. Sejarawan percaya kubur ini dibina pada abad ke-2 dan ke-3 masehi. Sebahagian batu megalith ini ada ukiran yang menyerupai tulisan Arab dan Sumatra.

Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas
Jalan Port Dickson
Pengkalan Kempas
71150 Linggi
Negeri Sembilan


15) Alive 3D Art Gallery

Yang ini pun aku dah lawati juga. Terdapat 50 buah lukisan untuk kita beraksi secara kreatif.

Waktu operasi:
Isnin-Jumaat : 11am - 11pm
Sabtu/Ahad/cuti umum : 10am - 11pm
Alamat
38-40, Jalan DS 2/1
Bandar Dataran Segar
71010 Lukut
Port Dickson
Negeri Sembilan

Tel : 06-6515400
Faks: 06-6510141


16) Upside Down Art Gallery
Rumah terbalik yang pertama di Negeri Sembilan. Lokasinya berdekatan PD Ostrich Farm dan Politeknik Port Dickson.

Waktu operasi: Setiap hari 10 pagi - 9 malam

13A & 15, Jalan Coral Walk
Batu 9, Jalan Pantai Port Dickson
Negeri Sembilan.
Emel: upsidedowngallery@gmail.com


17) Makan makan
Aku tak biasa makan di Port Dickson. Hanya pernah ke beberapa buah restoran selain membeli makanan di pasar malam berdekatan stesen minyak Petronas dan kedai-kedai kecil di tepi jalan. Antara restoran yang pernah dicuba dan sedap pula rasanya ialah:

Paklang Kopitiam sebelah Pejabat Kastam di bandar port Dickson, Embok Village dan Medan Ikan Bakar Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), d'Jetty.


Kalau nak tanya macam-macam bertanyalah kepada TMNS atau kengkawan. Aku tak expert tentang pekan Port Dickson... kita memang mengelakkan kawasan yang banyak kedai ni, bahaya heheh..

Jadi lepas ni bolehlah stay di Port Dickson lebih lama. Baanyakkkk sangat tempat untuk dikunjungi sambil makan seafood. Datanglah eh.. #DekatJe


Tourism Malaysia Negeri Sembilan
Seremban Plaza
Jalan Dato' Muda Linggi
70100 Seremban
Negeri Sembilan

Telefon: +606-763 5388 / 762
Faks: +606-763 8428
E-mel: mtpb.negerisembilan@tourism.gov.my
Facebook: https://www.facebook.com/TourismMalaysiaNegeriSembilan/?fref=ts











Post a Comment

2 Comments

  1. Punya la banyak tempat yg blom lawat kat NS...dah la mmg org NS...

    ReplyDelete
  2. Kannn hahah.. dah disenaraikan baru tahu

    ReplyDelete

Feel free to leave your comment below. Thank you.