Bandar Jutawan Suatu Waktu Dahulu | Mari Lihat 14 Tempat Menarik Di Ipoh




Bandar Jutawan Suatu Waktu Dahulu | Mari Lihat 14 Tempat Menarik Di Ipoh | Assalamualaikum dan selamat pagi. Alhamdulillah kita dipanjang usia dapat bertemu Ramadhan sekali lagi. Berpuasa bukan alasan untuk melepek di rumah saja eh.



Bandar Jutawan. Itulah gelaran kepada Ipoh atau Kinta atau Paloh di negeri Perak puluhan tahun dahulu. Lembah yang kaya dengan bijih timah menjadikan Malaysia pengeksport timah terbesar di dunia. Setelah kejatuhan teruk harga timah di tahun 1970an Perak beralih kepada punca ekonomi lain tetapi masih mengekalkan keindahan dan kemakmuran yang pernah dikecapinya.

Di bulan Ramadhan ni kita jalan #dekatJe boleh? Apa kata kita pergi ke Ipoh? Ipoh lebih kurang dua setengah jam perjalanan dari Kuala Lumpur. Kalau naik ETS dua jam sahaja. Bandaraya ini terbahagi kepada dua bahagian, lama dan baru tetapi kedua-duanya ada tarikan tersendiri. Tanyalah sesiapapun yang pernah ke sana, Ipoh menang bab makan, macam-macam ada dari sarapan hingga ke malam. Kiranya jika complimentary breakfast di hotel memang 'taraf complimentary' sungguh hehehh... keluar je meronda cari street food. Tak perlu stress.


Apa yang menarik di Ipoh?

Banyak you.... baca satu persatu eh, ada tempat orang Ipoh pun tak tahu kewujudannya.

1) Stesen Keretapi Ipoh (Ipoh Railway Station) dan Bangunan Bersejarah Di Sekitarnya

Stesen keretapi yang ada sekarang ialah yang kedua yang dibina pada tahun 1914. Yang pertama dahulu dibina pada 1894 dan digunakan selama 20 tahun.



Keretapi lama dan baru, ETS.


Rekaannya dibuat oleh Arthur Benison Hubback arkitek sama yang mereka bangunan Dewan Bandaran Ipoh (Ipoh Town Hall) dan Mahkamah Tinggi Ipoh. Hijjaz Kasturi belum wujud lagi masa tu jadi mat saleh sapu semua. Stesen sediaada dibina bersekali dengan Hotel Majestic yang kini sudah tidak lagi beroperasi. Gayanya adalah campuran Neo-Moorish/Mughal/Indo-Saracenic/Neo-Saracenic.

Dihadapannya ditanam pokok ipoh (upas) yang mana getahnya beracun dan digunakan oleh orang asli untuk berburu binatang. Berdekatan pokok ipoh itu ditegakkan sbuah Tugu Peringatan Perang (War Memorial) mengenang tentera dan rakyat yang mati dalam peperangan dan pembinaan landasan keretapi maut Burma-Thai, The Malayan Emergency 1948-1960, Indonesia Confrontation 1962-1965, The Re-Insurgency 1972-1990, Great War 1914-1918 dan World War II 1939-1945.

https://hsgemilang.blogspot.my
Itulah pokok ipoh (upas). Sumber hsgemilang.blogspot.my

Jika di hadapan Stesen Keretapi Ipoh ada Dewan Bandaran Ipoh dan Mahkamah Tinggi, di kanannya adalah Pejabat Pos. Berjalan di Jalan Dewan (Jalan Pejabat Pos) kita akan berjumpa dengan Birch Memorial yang dibina pada tahun 1909 sempena meperingati JWW Birch residen Inggeris yang mati di bunuh di Pasir Salak pada tahun 1875.

Wajib melakukan heritage trail bila berada di Ipoh.




2) Tujuh Taman Dalam Satu Taman (Seven Garden In A Garden)

Taman yang berlatar belakangkan bangunan bersejarah Stesen Keretapi Ipoh dan Dewan Bandaran Ipoh ini berkonsepkan tropika, English, perkahwinan, fantasi, partition, alam dan tradisional. Dataran yang dinaik taraf oleh Jabatan Lanskap Ipoh City Council ini membolehkan orang ramai untuk bersantai bersama keluarga. Mengeratkan family bonding gituh.


3) Muzium Darul Ridzuan

Asalnya ia sebuah rumah agam seorang pelombong bijih timah yang kaya bernama Foo Choong Kit. Kemudian ianya dijual kepada kerajaan negeri Perak pada 1950 dan dijadikan pejabat pentadbiran Jabatan Kerja Raya sebelum dijadikan muzium pula pada tahun 1992.

Bagi peminat sejarah bolehlah datang ke muzium ini untuk mengetahui apa yang telah membentuk Perak pada hari ini.

Darul Ridzuan Museum


Waktu operasi:
Isnin - -Ahad : 9.30 pagi - 5.00 petang
Jumaat : 9.30 pagi - 12.15 tengahari & 2.45 - 5.00 petang
Tutup : Hari Raya Puasa and Hari Raya Haji.


Alamat:
Muzium Darul Ridzuan,
Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab,
30000 Ipoh,Perak.
Tel/ Fax: 05-2531437

Masuk PERCUMA


4) Taman Rekreasi Gunung Lang

Taman Rekreasi Gunung Lang berlokasi di off Jalan Tunku Abdul Rahman (dahulunya Jalan  Kuala Kangsar) telah dibuka pada tahun 2000. Berlatar belakangkan keindahan bukit batu kapur Gunung Lang dan Gunung Bilike, kawasan rekreasi seluas 30.35 hektar ini menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah bersama keluarga. 14.16 hektar daripda taman ini merupakan tasik.

Titik tumpuan taman rekreasi ini ialah air terjun buatan manusia selain ruang pejalan kaki sejauh 2km. Taman permainan kanak-kanak, tempat perkhemahan, zoo mini, surau dan tandas juga disediakan. Untuk sampai ke sana tambang bot sebanyak RM3.00 untuk dewasa dan RM1.50 bagi kanak-kanak dikenakan.

5) Gua Tempurung

Ia gua yang terpanjang di semenanjung Malaysia. Cantik gua ni. Kita boleh berjalan sendiri tanpa guide hingga stage 2. Jalan je mengikut plank yang disediakan ya tangan dok dendiam jangan gatal nak pegang stalagmit dan stalagtit tu, mati dia nanti. Untuk bacaan lanjut sila buka link ini.




6) Gua Kandu

Gua ini pun best juga. Boleh buat flying fox sekali. Jemput baca di sini. Boleh buat flying fox sejauh 100 m. Perjalanan ke flying fox tu pun best juga hahahah... (keluar tanduk)


7) Lorong Seni (Street Art)

Lukisan mural yang lama aku dah cover dulu (di sini).. sekarang ada tambahan lagi.

GPS Coordinates (Jalan Bijih Timah): N 04° 35.660′ E101° 04.699′
GPS Coordinates (Jalan Othman Talib): N 04° 35.647 E101° 04.673′


Suka sangat tengok gambar berlatar belakangkan kapal korek ni.


 Sumber ipoh-city.com


8) Lost Wold of Tambun

Pusat rekreasi yang menjadi idaman kanak-kanak terutama yang berada di sebelah utara tanahair. Bawalah anak-anak berseronok di sini sesekali. If they're happy we'll be happy too, right? Ada water park, amusement park, petting zoo, tiger valley, tin valley dan adventure park. Juga, spa dan kolam air panas.

Apa? Tiket mahal? Eleh... beli rokok sekotak 17 hengget boleh pulak.

Sunway Lost World Water Park Sdn. Bhd.
No.1, Persiaran Lagun Sunway 1, Sunway City Ipoh,
31150 Ipoh, Perak Darul Ridzuan,

Theme park tel: +605 542 8888
Hotel tel: +605- 540 8888
Fax: +605- 542 8899
Email: lostworldoftambun@sunway.com.my


9) Pasar Karat Memory Lane

Sumber shakiddo.com

Pasar karat Memory Lane hanya dibuka pada hari Ahad bermula jam 6.30 pagi hingga 1.00 petang. Dipanggil pasar 'Loken' oleh masyarakat tempatan bersempena dengan lokasi asalnya yang berdekatan Bazar Lam Look King.

Pasar Karat ini terletak di sepanjang Jalan Horley dengan pelbagai barangan dijual seperti duit syiling lama, wang kertas lama, kamera antik, pinggan mangkuk zaman kolonial, alat piring hitam klasik, seterika arang, botol minuman bergas tahun 80an dan 90an dan pelbagai lagi. Walaupun dinamakan pasar karat yang sinonim dengan barangan terpakai dan lusuh serta antik, kini terdapat juga barangan baru seperti pakaian dan aksesori gajet dijual. The more the merrier kekdahnya. 

Datanglah selepas subuh untuk keselesaan. Sambil berjalan boleh makan makan.


10) Kinta Riverfront Walk

Ipoh di petang hari lemau macam Seremban juga hahaha... tetapi bandar Ipoh lebih besar dan ada tempat yang menarik lagi romantik (kira romantik lettew) di malam hari.

Kinta Riverfront Walk seperti mini I-City di Shah Alam tu yang indah dihiasi pokok berlampu LED berwarna-warni Di sepanjang sungai ada bistro dan kafe. Bolehlah lari sekejap dari KL di hujung minggu merehatkan diri dan minda. Bersebelahan dengannya ialah Palong Tin Mining Gallery Museum.



Jalan Lim Bo Seng
30000 Ipoh
Perak Darul Ridzuan


11) Concubine Lane

Tempat ini dipanggil Lorong Panglima atau Yi Lai Hong (Concubine Lane). Wanita Ipoh generasi nenek-nenek kita tak nak dia datang ke sini kerana dahulunya menjadi tempat menyimpan kekasih gelap milik lelaki Cina yang kaya dan para pegawai British. Berani mereka eh sebab wanita dedulu mana berani main kerat anu ni. Zaman ni je kita je samseng sket.

Dikatakan mula terkenal pada tahun 1908, Concubine Lane juga menjadi pusat menjual dan menghisap candu selain perjudian. 

Bangunan di sini kini ada yang terbiar, ada yang telah bertukar tangan dan dibangunkan. Dahulunya terdapat 27 buah rumah pra-perang yang dihuni oleh 100 keluarga imigran China yang bekerja sebagai penjaja makanan, pelombong bijih dan peniaga runcit.


12) Muzium Yasmin Ahmad (Kong Heng)
Muzium ini dibuka oleh rakan allahyarham Yasmin Ahmad dengan mempamerkan pakaian dan hasil kerja cemerlangnya di dalam bidang pengiklanan dan perfileman. Dah bulan puasa ni mulalah teringat kepadanya. Beliau juga suka menjadikan Ipoh latar filemnya.


Mari kita godek godek iklan lama Yasmin untuk Petronas di youtube sebelum melawat muzium ini. Boleh baca di sini juga untuk maklumat lanjut. 



13) Tasik Cermin, Gunung Rapat, Ipoh.
Coordinate: N4° 33.560′ E101° 07.210′

Lokasinya tersembunyi dari penglihatan awam sebab itulah ramai daripada orang Ipoh sendiri tidak tahu di mana letaknya. Ia berada di kawasan kuari yang masih aktif beroperasi. Kalau nak pergi ke Tasik Cermin rasanya hari Ahad sesuailah sebab tiada orang bekerja. Karang tak memasal kena lenyek dengan lori.


Dah jalan kuari sudah pastilah berbatu kerikil. Kalau bawa kereta Opel lama officemate aku dulu mau terbarai semua hahahha... kereta dia tu bila hujan lebat banjir kat lantai kereta, berenang kaki weh hahaha...kelakar bila diingat-ingat.


Jarak dari pintu masuk ke gua yang dikorek sendiri oleh pemilik kuari kira-kira 500m. Panjang gua tersebut hanyalah 50m. Pendek je laluannya, dari pintu gua sini boleh nampak cahaya di penghujung jalan gituh.


Tasik ini sungguh cantik dan terpelihara.






Pintu gua di sebelah kanan tempat orang memproses batu kerikil. Sumber di sini.

Tasik Tersembunyi |Tasik Cermin Ipoh
Credit Photo By Elmiza tawfiq


Bagaimana untuk ke Tasik Cermin?

Lokasinya lebih kurang 5km daripada Tol Simpang Pulai. Dari Lebuhraya Utara-Selatan kita perlu keluar dari Tol Simpang Pulai (Exit 137). Selepas traffic lights belok ke kanan dan ikut jalan menuju bandar Ipoh sejauh 4km sehingga berjumpa ACM Automative Corp (disebelah kanan) dan masuk ke jalan bertar yang kecil tu sehingga ke kawasan kuari batu.

Peringatan:
Kawasan batu kapur tidak kuat. Ini termasuk kawasan Tasik Cermin yang merupakan bekas kawasan batu kapur yang berbumbung; tetapi telah runtuh akibat tindakan alam. Mungkin atas sebab itu dia tidak atau masih belum dimajukan kerana risiko yang ada padanya (atau mungkin juga berada di dalam kawasan persendirian). Explore at your own risk. Berhati-hati sajalah, pray for the best. Gunung berapi yang boleh meletus bebila tu pun kita sanggup lawati atau daki sebab hendaklah pengalaman kan? Rugi tak tengok.


14) Movie Animation Park Studio (MAPS)

Tarikan terbaru di Ipoh yang dijangka akan beroperasi bulan Julai nanti. Bulan depan je haa... tiket early bird pun sold out. 

MAPS diwar-warkan sebagai Taman Tema Animasi Pertama di Ipoh. Dengan 40 tarikan, dan enam zon bertema, pembukaannya memang ditunggu-tunggu. 




Takkan jalan-jalan je kan, makanan popular di Ipoh?

1) Datang ke Ipoh tanpa mencuba Ipoh White Coffee dianggap belum lengkap lagi lawatannya.

2) Makan nasi ganja atau nasi vanggey

3) Makan makan di Dataran Jam.

4) Greentown foodtruck di Persiaran Greentown 3 in Greentown Business Centre, Ipoh. 
Perniagaan begini sama seperti kafe hipster bergerak. Selalunya mereka berada di sini tetapi ada masanya mereka bergerak ke tempat lain. Sila semak di instagram atau facebook Silver State Foodtrucks untuk makluman terkini.


Ini baru cerita Ipoh sahaja, belum bahagian negeri Perak yang lain lagi. Bandar Ipoh sesuai untuk diterokai dengan berjalan kaki tanpa tergesa-gesa.

Jarak Ipoh ke Taiping #DekatJe... sejam perjalanan. Jemput baca Taiping Heritage Trail juga di sini. 


**Tahniah kepada Tourism Perak kerana bot Perak telah berjaya menjadi juara Bot Terbaik Keseluruhan dalam pertandingan bot berhias di Magic of the Nights dan menerima anugerah President's Garden Award di Floria Putrajaya 2016 minggu lalu. Tahniah sekali lagi. Hebat ler kome tahun ni... baru aummmmm untuk Visit Perak 2017.

Post a Comment

0 Comments